Enam sekeluarga termasuk bayi enam bulan dikhuatiri hilang

ALOR SETAR, 11 MUHARRAM – Enam sekeluarga termasuk seorang bayi lelaki berusia enam bulan dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi oleh ahli keluarga mereka sejak Sabtu lalu.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Azim Ezzat Ishak, 32, isterinya Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy, 31, serta empat anak mereka berusia antara enam bulan hingga sembilan tahun.

Kehilangan mereka mula disedari apabila tidak pulang ke rumah di Jerlun selepas bermalam di kediaman ahli keluarga di Taman Aman, Jitra.

Memetik laporan Bernama, adik kepada Mohd Azim Ezzat, Nur Adliah Shuhada berkata, abangnya sekeluarga bermalam di rumahnya seperti kebiasaan pada malam Jumaat.

“Saya sangka mereka dah pulang ke Jerlun sebab abang yang bekerja sebagai pengawal keselamatan biasanya akan keluar awal pagi dan kakak ipar pula berniaga.

“Apabila ibu mentua abang hubungi saya dan beritahu mereka tak sampai ke rumah, saya mula bimbang dan cuba hubungi mereka tapi gagal.

“Kemudian saya dapat maklumat mengenai sebuah kereta Proton Saga di dalam Sungai Korok (di Jitra), tetapi nombor pendaftaran tak sama dengan kereta abang,” katanya.

Susulan itu, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Jitra bagi memaklumkan kehilangan tersebut.

Nur Adliah turut memaklumkan bahawa hebahan kehilangan turut dilakukan melalui media sosial, namun sehingga jam 10.30 malam tadi, masih tiada perkembangan baharu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan keluarga terbabit dan siasatan sedang dijalankan.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Liberalisme cabar akar Islam dan Melayu

Next Post

Hamas sambut baik kenyataan BRICS, desak Israel hentikan kekejaman

Related Posts