KABUL, 8 MUHARRAM — Russia mengumumkan menerima tauliah duta baharu Afghanistan, menjadikan negara pertama yang mengiktiraf kerajaan Taliban di negara itu.
Kementerian Luar Russia berkata, Moscow melihat prospek yang baik untuk membangunkan hubungan dan akan terus menyokong Kabul dalam aspek keselamatan, memerangi keganasan dan menangani jenayah berkaitan dadah.
Russia turut melihat peluang perdagangan dan ekonomi yang besar, terutama dalam sektor tenaga, pengangkutan, pertanian dan infrastruktur.
“Kami percaya bahawa pengiktirafan rasmi terhadap kerajaan Emiriah Islam Afghanistan akan memberi dorongan kepada pembangunan kerjasama dua hala yang produktif antara negara kita dalam pelbagai bidang,” kata kementerian itu, semalam.
Menteri Luar Afghanistan, Amir Khan Muttaqi, dalam satu kenyataan berkata: “Kami menghargai langkah berani Russia, dan insya-Allah ia akan menjadi contoh kepada negara lain juga.”
Tiada negara lain yang secara rasmi mengiktiraf kerajaan Taliban yang merampas kuasa pada Ogos 2021 ketika pasukan pimpinan Amerika Syarikat berundur dari Afghanistan dalam keadaan kelam kabut selepas 20 tahun berperang.
Bagaimanapun, China, Emiriah Arab Bersatu, Uzbekistan dan Pakistan telah menamakan duta negara berkenaan ke Kabul sebagai langkah ke arah pengiktirafan. Langkah Russia mewakili satu pencapaian penting bagi pentadbiran Taliban dalam usaha mereka untuk mengurangkan pengasingan di peringkat antarabangsa.
Tindakan ini dijangka diperhatikan dengan teliti oleh Washington yang telah membekukan berbilion dolar aset bank pusat Afghanistan dan mengenakan sekatan ke atas beberapa pemimpin kanan Taliban, yang menyebabkan sebahagian besar sektor perbankan Afghanistan terputus dari sistem kewangan antarabangsa.
Russia secara beransur-ansur membina hubungan dengan Taliban, yang menurut Presiden Vladimir Putin tahun lalu, kini menjadi sekutu dalam memerangi keganasan. Sejak 2022, Afghanistan telah mengimport gas, minyak dan gandum dari Rusia.
Taliban diharamkan oleh Russia sebagai gerakan pengganas pada 2003, tetapi larangan itu ditarik balik pada April tahun ini. Rusia melihat keperluan untuk bekerjasama dengan Kabul memandangkan ancaman keselamatan besar daripada kumpulan Islam yang berpangkalan di beberapa negara dari Afghanistan hingga ke Timur Tengah.
Pada Mac 2024, lelaki bersenjata membunuh 149 orang dalam serangan di sebuah dewan konsert di pinggir Moscow dalam serangan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan IS. Pegawai AS berkata mereka mempunyai risikan yang menunjukkan cawangan IS di Afghanistan, iaitu Islamic State Khorasan (ISIS-K), bertanggungjawab.
Taliban berkata, mereka sedang berusaha untuk menghapuskan kehadiran IS di Afghanistan. – REUTERS
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi