Jawatankuasa masjid, surau perlu pastikan kaligrafi patuh syarak

BANGI, 8 MUHARRAM — Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menasihati semua jawatankuasa masjid dan surau di seluruh negara supaya menyemak dengan teliti setiap penggunaan kaligrafi yang ingin dijadikan hiasan supaya selaras dengan kehendak syarak.

Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, masyarakat juga boleh memberi teguran sebagai tanda keprihatinan terhadap perkara ini, namun berharap teguran dibuat secara berhemah dan membina.

“Tidak perlulah kita menggunakan perkataan yang menghina atau merendahkan orang lain…saya ucap terima kasih atas keprihatinan masyarakat untuk menegur dan membetulkan. Kalau khat atau kaligrafi itu silap, kita akan betulkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Layar Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini, semalam.

Sementara itu, katanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam Melaka bagi membantu semakan dan verifikasi kaligrafi di masjid dan surau di negeri itu susulan dakwaan kesilapan ejaan dalam khat kufi kalimah ‘Allah’.

Katanya, langkah itu bagi memastikan setiap kaligrafi mengandungi kalimah suci yang dipamerkan di masjid dan surau adalah tepat serta menepati ajaran al-Quran dan hadis.

“Saya difahamkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman, telah mengarahkan semua masjid dan surau di negeri itu menyemak semula kaligrafi sedia ada.

“Dalam konteks saya dan JAKIM, kita bersedia bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka dalam hal ini,” katanya.

Rahmad dilaporkan berkata, kerajaan Melaka sedang menyiasat dakwaan kesilapan dalam pemasangan khat kufi kalimah ‘Allah’ dengan ejaan yang kurang tepat dan kini dalam proses mengenal pasti masjid atau surau terlibat.

Ini berikutan seorang pempengaruh media sosial mendakwa terdapat kesilapan pada tulisan khat kufi di sebuah masjid di Melaka yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Lawatan Anwar: Potensi pelaburan atau gimik diplomasi?

Next Post

Israel culik dan penjarakan sejuta rakyat Palestin sejak 1967

Related Posts