GAZA, 8 MUHARRAM – Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) sedang menjalankan rundingan bersama kepimpinan pelbagai kumpulan pejuang Palestin berhubung cadangan gencatan senjata baharu yang dikemukakan oleh perantara antarabangsa.
Dalam kenyataan ringkas yang disiarkan di Telegram, Hamas menegaskan komitmennya untuk menghentikan pencerobohan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa halangan.
“Selaras dengan komitmen gerakan untuk menamatkan pencerobohan Zionis terhadap rakyat kami dan menjamin kemasukan bantuan kemanusiaan,Hamas sedang mengadakan perundingan bersama para pemimpin dan kumpulan Palestin mengenai cadangan yang diterima daripada para perantara bersaudara,” menurut kenyataan itu.
Hamas memaklumkan bahawa keputusan muktamad akan dikemukakan kepada para perantara selepas rundingan selesai dan akan diumumkan secara rasmi.
Cadangan gencatan senjata terbaharu itu dipercayai hasil usaha mediasi oleh Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat, yang antara lain mencadangkan tempoh gencatan selama 60 hari, penarikan sebahagian tentera rejim dari Gaza, serta pertukaran tahanan dan tebusan secara berperingkat.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam kenyataan terbaharunya berkata, Israel telah bersetuju dengan syarat-syarat utama cadangan gencatan senjata tersebut, dan menyeru Hamas agar tidak melepaskan peluang ini.
“Israel telah bersetuju dengan syarat perlu untuk memeterai gencatan senjata 60 hari. Saya berharap Hamas akan menerima perjanjian ini kerana ia tidak akan menjadi lebih baik — ia hanya akan menjadi lebih buruk,” katanya.
Trump turut memaklumkan bahawa beliau akan membincangkan perkara tersebut secara langsung bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam kunjungan rasmi ke Washington.
Setakat ini, Hamas masih belum menyatakan persetujuan rasmi terhadap cadangan tersebut, namun bertegas bahawa sebarang perjanjian mesti menjamin penamatan pencerobohan secara menyeluruh serta pengunduran penuh tentera penjajah dari Gaza.
Sumber diplomatik memetik bahawa Israel bersedia menerima kerangka asas cadangan berkenaan, namun perincian terperinci masih dalam proses perundingan.
Sejak serangan dilancarkan ke atas Gaza pada 7 Oktober lalu, lebih 57,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh menurut Kementerian Kesihatan Gaza, dengan lebih separuh daripadanya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Angka sebenar dijangka lebih tinggi memandangkan banyak kawasan masih terhalang daripada operasi menyelamat dan pencarian mangsa. – AL JAZEERA
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi