TEBING BARAT, 8 MUHARRAM — Sebuah pagar logam setinggi lima meter membelah bahagian timur Sinjil, sebuah bandar Palestin di Tebing Barat yang diduduki Israel. Pintu pagar keluli berat dan sekatan jalan menutup semua laluan keluar masuk kecuali satu yang diawasi oleh tentera Israel di menara kawalan.
“Sinjil kini menjadi penjara besar,” kata Mousa Shabaneh, 52, bapa kepada tujuh anak, dengan nada pasrah ketika dia memerhati pekerja mendirikan pagar melalui tapak semaian di pinggir bandar yang menjadi tempatnya mencari rezeki.
“Sudah tentu, kami kini dilarang pergi ke tapak semaian itu. Semua pokok yang saya tanam dibakar dan musnah. Mereka menutup pintu rezeki kami,” katanya.
Dinding dan sekatan jalan yang didirikan tentera Israel telah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan harian hampir tiga juta penduduk Palestin di Tebing Barat. Namun ramai kini berkata, peningkatan mendadak halangan ini sejak perang di Gaza bermula, menjadikan bandar dan kampung dalam keadaan terkepung secara tetap.
Pagar di sekitar Sinjil adalah contoh paling ketara kewujudan halangan baharu yang muncul di seluruh wilayah itu, menjadi pemandangan yang mendominasi kehidupan harian. Tentera Israel mendakwa mendirikannya untuk melindungi lebuh raya Ramallah-Nablus yang berdekatan.
“Berikutan kejadian keganasan berulang di kawasan ini, keputusan diambil untuk membina pagar bagi menghalang insiden membaling batu ke laluan utama dan gangguan berulang terhadap ketenteraman awam, seterusnya menjaga keselamatan orang awam di kawasan ini,” menurut kenyataan tentera Israel.
Terputus dari tanah sendiri
Penduduk kini terpaksa berjalan kaki atau memandu melalui lorong sempit dan berliku untuk ke satu-satunya pintu masuk yang dibenarkan. Ada yang terpaksa menyeberangi sekatan jalan dengan berjalan kaki untuk sampai ke kenderaan di seberang.
Mereka yang sebelum ini menyara hidup di tanah sekitar kini terputus daripada tanah mereka, kata Bahaa Foqaa, timbalan datuk bandar. Beliau berkata, pagar itu menempatkan 8,000 penduduk dalam kawasan seluas hanya kira-kira 10 ekar, memisahkan mereka daripada 2,000 ekar tanah milik persendirian di sekeliling.
Selepas berdekad-dekad Israel berpura-pura menyokong prospek negara Palestin merdeka, kerajaan sayap kanan Israel dan aktivis pendatang haram Yahudi secara terbuka menyatakan hasrat untuk menjajah seluruh Tebing Barat.
Separuh hidup kami di jalan
Israel meningkatkan kehadiran tentera di Tebing Barat sejurus selepas serangan mengejut Hamas pada Oktober 2023 yang mencetuskan perang yang memusnahkan wilayah Palestin lain, iaitu Gaza.
Dalam sekelip mata, timbunan tanah dan batu-batu besar diletakkan di jalan-jalan. Kemudian pintu pagar logam berat, biasanya dicat kuning atau oren, dipasang dan dikunci tentera di pintu masuk komuniti Palestin.
Sana Alwan, 52, yang tinggal di Sinjil dan bekerja sebagai jurulatih peribadi, berkata perjalanan sehala ke Ramallah yang dahulu mudah kini boleh mengambil masa sehingga tiga jam, tanpa dapat menjangkakan berapa lama dia akan tersangkut di sekatan jalan. Kerjanya kini perlahan kerana tidak lagi boleh berjanji kepada pelanggan bahawa dia boleh sampai kepada mereka.
“Separuh daripada hidup kami habis di jalan,” katanya.
Walaupun Tebing Barat sebahagian besar terselamat daripada serangan besar-besaran seperti di Gaza, kehidupan di sini semakin genting. Larangan memasuki Israel untuk bekerja secara tiba-tiba memutuskan sumber pendapatan puluhan ribu pekerja. Pada awal tahun ini, puluhan ribu penduduk Tebing Barat dipaksa meninggalkan rumah akibat operasi ketenteraan Israel terhadap militan di Jenin di utara.
Mohammad Jammous, 34, yang dibesarkan di Jericho dan kini tinggal di Ramallah, dahulu kerap berjumpa keluarganya hampir setiap minggu. Dengan perjalanan sejam kini biasanya menjadi beberapa jam, dia kini hanya dapat melawat mereka sekali sebulan.
Tentera Israel berkata, tentera beroperasi dalam “realiti keselamatan yang kompleks” dan sekatan jalan perlu dipindah dan didirikan di lokasi baharu secara berkala untuk memantau pergerakan dan bertindak balas terhadap ancaman dari komuniti Palestin.
Pegawai Pihak Berkuasa Palestin yang mempunyai kuasa pemerintahan sendiri terhad di bawah pendudukan Israel di Tebing Barat, mengesyaki bahawa kesan menyesakkan terhadap ekonomi dan kehidupan seharian itu disengajakan. Mereka berkata, keadaan itu mendorong lebih ramai anak muda bersimpati dengan kumpulan pejuang Palestin.
“Mereka melakukan segala yang mampu untuk menyukarkan hidup rakyat kami,” kata Perdana Menteri Palestin, Mohammad Mustafa kepada wartawan bulan lalu. – REUTERS
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi