Pempengaruh pembangkang terima ugutan bunuh, simbah asid

BANGI, 7 MUHARRAM — Pempengaruh pembangkang yang kerap mengkritik kerajaan, Na’im Brundage menerima ugutan bunuh daripada seorang individu tidak dikenali, berkemungkinan kerana motif politik.

Dalam satu kenyataan, Na’im yang juga Exco Armada Bersatu berkata, rancangan membunuh atau mencederakannya itu dikatakan menerusi perbuatan menyimbah asid.

“Demi melindungi keselamatan diri dan keluarga, saya telah membuat laporan polis semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. 

“Saya menyerahkan perkara ini sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam satu kenyataan berasingan, Na’im memaklumkan kepada TV Pertiwi bahawa ugutan itu dimaklumkan oleh satu sumber yang boleh dipercayai. 

Ujarnya, dia tidak menolak kemungkinan motif politik ekoran kegiatan aktifnya dalam dunia politik selain lantang bersuara mengenai isu-isu semasa. 

Bagaimanapun, katanya, ugutan tersebut tidak akan melunturkan semangatnya untuk terus bersuara. 

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak akan sesekali tunduk kepada sebarang bentuk ancaman, tekanan atau intimidas,” katanya sambil menggesa menolak budaya politik ganas. 

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya ugutan terhadap Na’im.

“Jika benar ugutan ini bermotifkan politik, ia adalah bukti bahawa ada pihak yang sanggup menggunakan keganasan sebagai alat untuk membungkam suara berani anak muda yang lantang memperjuangkan hak rakyat.

“Kami mendesak pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menyiasat segera laporan polis yang telah dibuat di IPD Dang Wangi, mengesan dan menangkap pelaku yang membuat ugutan ini tanpa berlengah. 

“Ketegasan dalam hal ini adalah penting bukan sahaja demi keselamatan individu yang diancam, tetapi demi menghalang sebarang budaya politik samseng daripada berakar umbi dalam sistem demokrasi negara,” katanya.

Naim sebelum ini pernah memfailkan semakan kehakiman terhadap kerajaan bagi mencabar sekatan akaun TikToknya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Luar biasa Hakim Besar Malaya pangku 2 jawatan tertinggi kehakiman

Next Post

Terusan Segenting Kra: Ancaman atau peluang untuk Malaysia?

Related Posts