Luar biasa Hakim Besar Malaya pangku 2 jawatan tertinggi kehakiman

BANGI, 7 MUHARRAM — Perikatan Nasional (PN) menyifatkan pelantikan Hakim Besar Malaya memangku dua jawatan tertinggi kehakiman negara serentak adalah langkah luar biasa yang menimbulkan kegusaran besar terhadap prinsip pengasingan kuasa dan kebebasan institusi kehakiman.

Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pelantikan Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim memangku jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan sebagai sesuatu yang amat janggal, luar biasa dan tidak pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara.

“Ia sekali gus menimbulkan persoalan besar mengenai keutuhan sistem pemisahan kuasa dan kebebasan institusi kehakiman yang menjadi asas kepada prinsip rule of law (kedaulatan undang-undang) dalam mana-mana negara demokrasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Takiyuddin berkata, lebih mengejutkan pelantikan tersebut berlaku dalam keadaan kerajaan dan Perdana Menteri seolah-olah mengesahkan secara rasmi niat di sebalik tidak memberikan pelanjutan perkhidmatan kepada bekas Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, yang masing-masing bersara wajib beberapa hari yang lalu.

“Kegagalan Perdana Menteri untuk mengambil tindakan segera dan sewajarnya dalam urusan pelantikan tertinggi dalam badan kehakiman mengundang tanda tanya yang sangat besar dan mencetuskan persepsi bahawa terdapat unsur campur tangan yang nyata, pengabaian disengajakan, atau lebih buruk perancangan tersembunyi untuk mempengaruhi atau mengawal sistem kehakiman di negara ini,” katanya. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, Perdana Menteri hari ini mengetuai cabang-cabang eksekutif dan legislatif negara secara mutlak.

“Kini, dengan kekosongan ketua cabang kehakiman yang dibiarkan berlarutan, apakah ini satu lagi langkah terancang seseorang untuk menyempurnakan pengaruh penuh ke atas semua cabang kuasa kerajaan, sekaligus mencabul konsep pengasingan kuasa?

“PN ingin menegaskan bahawa kebebasan badan kehakiman bukan sahaja perlu wujud, tetapi mesti dilihat wujud. Kegagalan kerajaan menghormati serta menyegerakan proses pelantikan dalam badan kehakiman hanya akan terus menghakis keyakinan rakyat terhadap keadilan dan keluhuran undang-undang. 

“Ini pasti mengakibatkan kelewatan proses perundangan di mahkamah, “keadilan yang lambat ditegakkan, hakikatnya adalah keadilan yang dinafikan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya PN mendesak Perdana Menteri untuk memberi penjelasan segera kepada rakyat mengenai kelewatan ini, menafikan secara terbuka sebarang niat untuk campur tangan dalam kebebasan kehakiman.

Selain itu, katanya Perdana Menteri perlu menyegerakan proses pelantikan tetap bagi Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan mengikut lunas Perlembagaan dan kelaziman konstitusional.

“Institusi kehakiman adalah tonggak dan benteng terakhir dalam mempertahankan hak rakyat dan memastikan keadilan ditegakkan tanpa takut atau pilih kasih. 

“PN menggesa semua pihak, terutama pihak berkuasa jangan sesekali mengorbankan prinsip ini demi percaturan politik atau agenda sempit kuasa,” katanya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hakim Besar Malaya jalankan tugas Ketua Hakim Negara 

Next Post

Pempengaruh pembangkang terima ugutan bunuh, simbah asid

Related Posts