Letupan Putra Heights: Panel Siasatan Bebas perlu ditubuhkan

BANGI, 7 MUHARRAM -Kerajaan perlu menubuhkan Suruhanjaya atau Panel Siasatan Bebas bagi menyiasat kejadian letupan paip gas di Putra Heights berikutan pelbagai persoalan besar berhubung laporan teknikal yang dikeluarkan setakat ini.

Pengamal undang-undang, Yusfarizal Yusoff berkata, tindakan itu perlu disegerakan bagi memastikan siasatan dijalankan secara profesional dan bersepadu, demi keselamatan awam dan memulihkan keyakinan rakyat.

“Ini bukan masa untuk memuji atau menjaga hati mana-mana pihak. Risiko kepada rakyat terlalu besar,” katanya dalam tulisan di laman sosial Facebook, hari ini.

Beliau berkata, laporan yang dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian itu menimbulkan keraguan, mengingatkannya kepada pengalaman mengendalikan kes undang-undang berhubung letupan kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Hentian Rawat & Rehat (R&R) Slim River, sebelum ini.

Dalam pemeriksaan balas kes itu di Mahkamah Rayuan, katanya laporan disediakan oleh pakar elektrik yang dilantik TNB dipertikaikan kerana pakar tersebut bukan pakar analisis kerosakan (fault analyst) sedangkan siasatan memerlukan kepakaran itu.

Selain itu, katanya laporan pakar itu berdasarkan simulasi yang gagal memasukkan beberapa faktor pemboleh ubah dan tidak menjelaskan beberapa fakta secara tuntas dan dalam kes itu ialah persoalan punca `fuse carrier’ (pemegang fius) terbakar hangus.

Katanya, Mahkamah Rayuan yang mendengar kes itu menolak laporan pakar TNB dan menerima laporan pakar pihaknya.

“Dalam insiden Putra Heights, laporan yang dikeluarkan adalah dejavu bagi saya. Ia penuh tanda tanya bagi orang awam yang bukan pakar seperti saya seperti laporan dalam kes TNB dahulu,” katanya.

Dalam sidang media pada 30 Jun lalu, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP), Husdin Che Amat berkata, keadaan tanah di bawah paip yang lemah dan tidak menyokong sepenuhnya struktur paip merupakan punca bagi insiden kebocoran dan kebakaran paip gas yang berlaku di Putra Heights, pada 1 April lalu.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati paip gas tersebut memenuhi semua spesifikasi teknikal yang ditetapkan, namun bahagian bawah paip didapati tidak disokong sepenuhnya oleh tanah dan satu keadaan yang menyebabkan paip berada dalam keadaan unsupported segment di atas tanah yang lembut dan lembap.

Namun Yusfarizal mempersoalkan mengapa laporan berkenaan disediakan oleh ahli geologi tanpa input daripada jurutera struktur, jurutera mekanikal, atau jurutera dalam bidang minyak dan gas yang khususnya berkenaan siasatan integriti paip dan kemalangan.

“Laporan gagal menerangkan `video penunggang basikal’ yang menunjukkan ada aktiviti pembinaan serta gagal menerangkan `root cause’ (punca utama)  kepada takungan air, tekanan iklim, kepadatan penduduk dan sebagainya dari aspek pemantauan dan penyelenggaraan.

“Selain itu, gagal menerangkan kenapa sistem pemantauan paip tidak dapat mengesan `cyclic loading’ (beban kitaran) yang saya kira akan menyebabkan turun naik tekanan gas dalam paip. Adakah simulasi dilakukan?” katanya.

Beliau berkata, kelemahan dalam laporan teknikal seperti ini hanya akan menambah kegusaran orang awam dan membuka ruang kepada spekulasi atau andaian berunsur konspirasi, sedangkan perkara pokoknya adalah kegagalan menyediakan laporan yang lengkap dan telus.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kerajaan negeri tidak wajar terlibat siasat insiden letupan

Next Post

Isyarat kritikal kepada kerajaan di sebalik peningkatan populariti Anwar

Related Posts