BANGI, 7 MUHARRAM — Beberapa kiosk di bawah inisiatif MyKiosk didapati sudah mempunyai penyewa sejak beberapa lama namun masih belum beroperasi, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kecekapan pengurusan inisiatif tersebut di bawah majlis perbandaran.
Tinjaun TV Pertiwi di beberapa unit MyKiosk Taman Kajang Utama mendapati para peniaga berdepan kesukaran untuk memulakan operasi atas beberapa faktor walaupun sudah terpilih sebagai penyewa kiosk.
Seorang wakil peniaga yang enggan namanya didedahkan berkata, faktor birokrasi menjadi penghalang utama mereka masih belum mula berniaga.
“Penyerahan kiosk telah dilakukan daripada kontraktor kepada MPKj pada 15 Jun lepas. Kami telah diberikan nombor unit masing-masing tetapi kiosk ini tiada nombor jadi kami tak tahu mana satu unit yang disewakan kepada kami.
“Ini penting kerana untuk mendapatkan kunci kiosk, kami diminta untuk menghantar gambar depan belakang kiosk,” katanya ketika ditemui TV Pertiwi.
Tambah beliau, majlis tidak berunding dengan pihak persatuan untuk menetapkan nombor kiosk dan pemilihan kiosk mengikut kesesuaian peniaga. Ini kerana ada peniaga yang sudah berusia dan sukar untuk berjalan kaki ke lot kiosk yang terletak agak jauh.
Keadaan itu boleh diibaratkan sebagai jatuh ditimpa tangga kepada peniaga di kawasan tersebut memandangkan sebelum ini pihak MPKj telah pun merobohkan gerai kekal yang diusahakan mereka.
“Gerai kami dirobohkan sekitara Disember 2024 yang mana pihak majlis menjanjikan pembinaan kiosk baharu yang akan siap dalam tempoh sebulan dua.
“Ada sesetengah peniaga diberikan tapak sementara di pasar malam berhampiran padahal kami bukan peniaga pasar malam. Sesetengah lain tidak meneruskan perniagaan mereka sekali gus menjejaskan pendapatan,” ujarnya.
Beliau turut berkata, peniaga perlu mengeluar sejumlah wang yang besar untuk memulakan operasi termasuk deposit sebanyak RM800, sewa bulanan (RM200), dan caj proses (RM100).
Inisiatif MyKiosk sebelum ini menerima kritikan gara-gara harga ‘kayangan’ bagi sebuah unit, iaitu kira-kira RM20,000 dengan peruntukan keseluruhan lebih RM150 juta untuk kiosk-kiosk di seluruh negara.
Di sesetengah tempat, kiosk-kiosk tersebut tidak berpenghuni dengan ramai yang mengatakan lokasinya tidak strategik.
TV Pertiwi sebelum ini melaporkan kiosk tersebut tidak mesra dengan keadaan Malaysia yang kerap mengalami hujan, setelah mula meniaga menggunakan fasiliti itu bermula tahun lepas.
Hasil tinjauan di satu lagi lokasi di kiosk Seksyen 9, Bandar Baru Bangi mendapati hanya empat peniaga beroperasi, manakala selebihnya tidak digunakan dan dibiarkan kosong tanpa sebarang aktiviti perniagaan.
Ketika ditanya mengenai kiosk kosong di sebelah, seorang peniaga memaklumkan bahawa kiosk berkenaan difahamkan sudah berdaftar dan mempunyai pemilik, namun tidak mengetahui sebab ia masih tidak beroperasi sehingga kini.
“Sebelah ni memang dah ada orang berdaftar, tetapi saya tak pasti kenapa dia tak berniaga. Sama ada sudah tukar nama atau sebaliknya, saya pun tak tahu,” katanya yang tidak mahu dinamakan.
Menerusi panggilan telefon ke Bahagian Harta MPKj, TV Pertiwi dimaklumkan bahawa unit-unit kosong di bawah kelolaan majlis tersebut telah mempunyai penyewa sejak Mei.
“Mana-mana (penyewa) yang tidak berniaga, kita akan bagi notis untuk mula meniaga. Jika tidak berniaga, kita akan memberi notis amaran dan tarik balik (kelulusan),” menurutnya.
Bagi unit-unit yang telah ditarik semula, katanya permohonan baharu akan dibuka sekali gus untuk semua zon.
“Jika kita buka (permohonan) bulan Ogos, ia untuk semua (kiosk kosong). Kita tak buka (permohonan) sikit-sikit. Dan peniaga tidak boleh tempah kiosk terlalu lama,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di beberapa lokasi di bawah kelolaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mendapati, rata-rata unit kiosk yang masih tutup sebenarnya telah mempunyai penyewa.
Menurut seorang peniaga kek di kiosk di Medan Selera Anjung Melawati, baki tiga lagi unit kiosk difahamkan telah disewakan.
“Saya pun baru berniaga selepas berjaya sesi temu duga dua minggu lepas. Iklan kekosongan kiosk boleh didapati di Facebook MPAJ.
“Saya difahamkan ada peniaga-peniaga yang sudah ditemu duga tetapi tak pasti kalau mereka menolak tawaran atau belum masuk meniaga,” katanya.
TV Pertiwi sedang berusaha mendapatkan respons pihak MPKj dan MPAJ.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi