BANGI, 7 MUHARRAM — Laporan insiden letupan paip gas Petronas di Putra Heights yang dikeluarkan baru-baru ini menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak termasuklah penduduk yang terkesan dengan letupan itu.
Mereka menzahirkan rasa kecewa itu kerana laporan tersebut disifatkan tidak memuaskan. Mana tidaknya, pihak-pihak yang terlibat dalam siasatan itu hanya menjelaskan teknikaliti berkaitan tanah dan paip. Tiada penjelasan lanjut berhubung aktiviti manusia (antropogenik) yang disebut dalam laporan tersebut.
Ramai pihak tidak berpuas hati: takkanlah salah tanah pula? Sedangkan sudah terang lagi bersuluh adanya aktiviti korek-mengorek di kawasan berhampiran. Ini dapat dibuktikan dengan rakaman dashcam dan kewujudan projek pembinaan berhampiran.
Kerja-kerja pembinaan itu membabitkan pelbagai pihak selain pemaju dan kontraktor. Ia membabitkan agensi kerajaan negeri seperti Koridor Utiliti Selangor (KUSEL), iaitu agensi kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Incorporated yang dipengerusikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Selain itu, ia turut membabitkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ) dalam soal permit dan kelulusan.
Laporan ini, menurut sebahagian pihak, kelihatan seperti ‘ditala’ untuk memfokuskan kepada sebab-sebab semula jadi atau ‘force majeure’. Ada perkara berbangkit membabitkan dua agensi yang disebutkan di atas yang tidak disentuh langsung dalam laporan tersebut melainkan kenyataan umum bahawa kerja-kerja pengorekan dikatakan mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Ada pelbagai soalan yang mesti dibangkitkan dan dijawab:
1) Pegawai manakah yang dihantar untuk memantau kerja-kerja oleh kontraktor bagi memastikan ia mematuhi SOP?
2) Mengapakah syarikat yang dikenakan tindakan tatatertib oleh CIDB diberikan permit?
Kedua-dua persoalan ini membabitkan dua agensi kerajaan negeri iaitu MBSJ dan KUSEL. Inilah sebabnya kerajaan negeri sendiri wajar untuk tidak terlibat dalam siasatan itu. Kesalahan kedua-dua agensi ini amat mudah diselindungkan jika kerajaan negeri yang menyiasat kejadian tersebut.
Justeru, desakan oleh penduduk agar siasatan bebas diadakan adalah amat tepat. Pihak pembangkang juga telah menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Ini langkah wajar yang perlu diambil.
Kerajaan negeri tidak boleh berlepas tangan jika benar agensi-agensi di bawahnya tidak melakukan tanggungjawab mereka.
Menerusi laporan sedia ada, sukar untuk tindakan undang-undang diambil terhadap kecuaian pihak-pihak terlibat.
Oh ya, apa jadi dengan ekskavator yang dikatakan tenggelam itu?
Oleh: Ahmad Mustakim, Wartawan TV Pertiwi
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi