BANGI, 6 MUHARRAM – Presiden Nasionalis, Haji Aminuddin Yahaya mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan semula dasar perpaduan negara dengan menukar pendekatan integrasi kepada asimilasi, demi mencapai perpaduan nasional yang lebih hakiki.
Beliau berkata, antara kesilapan besar yang dilakukan oleh pemerintah terdahulu ialah mengamalkan dasar integrasi kepada kaum pendatang yang datang ke negara ini, dan bukannya asimilasi seperti yang diamalkan di negara-negara lain di rantau ini.
“Integrasi bermakna setiap kaum boleh terus mengamalkan bahasa dan budaya mereka walaupun asas utama negara ketika itu adalah Melayu.
“Ini menyebabkan sehingga hari ini kita gagal mencapai perpaduan sebenar. Setiap kaum masih mengekalkan bahasa dan budaya mereka sehingga menimbulkan pelbagai prejudis,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Haji Aminuddin juga berkata, walaupun kerajaan membelanjakan ratusan juta ringgit setiap tahun dan menubuhkan Kementerian Perpaduan, namun usaha itu dilihat tidak membuahkan hasil yang bermakna.
“Kalau dilihat di semua negara di rantau ini malah di seluruh dunia, semua negara mengamalkan asimilasi.
“Sebab itu kita lihat di Indonesia semua kaum menggunakan bahasa Indonesia. Begitu juga di Thailand, Filipina, Kemboja dan lain-lain,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi