PN tuntut pendedahan isu Ambalat dan Triti Sulawesi di Parlimen

Perikatan Nasional (PN) menuntut supaya kerajaan mendedahkan butiran mengenai pembangunan bersama di Ambalat dan dokumen berkaitan Triti Sulawesi untuk dibahaskan di Parlimen.

Gesaan itu dipercayai timbul susulan kenyataan Menteri Luar Indonesia yang mendakwa Malaysia telah bersetuju untuk melaksanakan pembangunan bersama di Blok Ambalat – kawasan yang masih menjadi pertikaian maritim antara kedua-dua negara.

Meskipun kerajaan Malaysia belum memberikan penjelasan rasmi, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, rakyat berhak mengetahui kedudukan sebenar isu ini kerana ia membabitkan kepentingan nasional serta kedaulatan negara.

“Kedaulatan dan kepentingan Malaysia ke atas segenap inci wilayah negara, khususnya di kawasan maritim strategik di Blok Ambalat, yang kaya dengan simpanan minyak serta gas asli, wajib dipertegas dan dipertahankan.

“Langkah membuat pembangunan bersama (joint development) secara tergesa-gesa, ketika wilayah kedaulatan maritim negara dituntut negara luar boleh menjerumuskan kepentingan nasional dalam keadaan samar,” katanya dalam satu kenyataan Facebook, hari ini.

Hamzah berkata, lebih membimbangkan apabila pengumuman pembangunan bersama di Ambalat itu berbeza dengan beberapa jawapan Perdana Menteri sebelum ini, termasuk ketika isu Triti Sulawesi dan Ambalat dibangkitkan di Parlimen.

“Sehubungan itu, Perikatan Nasional menuntut butir-butir mengenai pembangunan bersama di Ambalat dan dokumen Triti Sulawesi dibahaskan di Parlimen kerana rakyat berhak tahu kedudukan sebenar isu ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi mengumumkan bahawa Indonesia dan Malaysia telah bersetuju untuk melaksanakan pembangunan bersama di kawasan sempadan maritim yang belum dimuktamadkan, termasuk Blok Ambalat.

Bagaimanapun, tiada pengesahan rasmi diberikan oleh pihak kerajaan Malaysia berkaitan perkara tersebut sehingga kini, sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat.

Untuk rekod, mesyuarat kedua Parlimen akan bersidang mulai 21 Julai hingga 28 Ogos.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

‘Dua individu ugut bunuh, pukul saya belum didakwa’ – Firdaus Wong 

Next Post

Abu Shabab didakwa bersekongkol dengan Israel, Hamas beri masa 10 hari serah diri

Related Posts