NEW YORK, 6 MUHARRAM — Lembaga Pilihan Raya Bandar Raya New York mengesahkan kemenangan mengejut calon Datuk Bandar, Zohran Mamdani, dalam pemilihan utama parti Demokrat, sekali gus membuka jalan kepada pendatang baru politik itu menjadi calon rasmi parti bagi pilihan raya Datuk Bandar pada November nanti.
Keputusan undian berperingkat yang diumumkan hari ini, menunjukkan Mamdani, yang memulakan kempennya sebagai ahli Dewan Perhimpunan Negeri New York yang kurang dikenali, memperoleh 56 peratus undian pada pusingan ketiga pemilihan, melepasi syarat majoriti lebih 50 peratus untuk dinobatkan sebagai pemenang.
Sebagai calon Demokrat, Mamdani bakal berdepan penyandang Datuk Bandar, Eric Adams, dalam pilihan raya umum. Adams yang memenangi jawatan Datuk Bandar sebagai calon Demokrat pada 2021, kini bertanding sebagai calon bebas selepas didakwa atas tuduhan rasuah dan kes itu kemudian digugurkan oleh Jabatan Kehakiman.
Dalam sebuah video baharu di X, Mamdani membandingkan kemenangannya dalam pemilihan utama dengan kempen pilihan raya Adams pada 2021.
“Kami memang menjangka kemenangan datang selepas beberapa pusingan undian berperingkat. Apabila kami dapat lebih banyak undian pada pusingan pertama berbanding jumlah yang Eric Adams dapat dalam tujuh pusingan pilihan raya lalu, itu memang mengejutkan,” katanya.
Kemenangan mengejut Mamdani, 33, seorang Muslim kelahiran Uganda yang menggelarkan dirinya sosialis demokrat, ke atas ahli politik veteran, Andrew Cuomo yang bersikap sederhana, mencetuskan keresahan dalam kalangan Demokrat yang bimbang pandangan politiknya mungkin menjadi sasaran mudah serangan Republikan.
Sehari selepas kemenangan Mamdani, Presiden Donald Trump menggelarnya sebagai “100 peratus Komunis Gila” manakala sayap kempen kongres Parti Republikan berikrar untuk mengaitkannya dengan setiap calon Demokrat yang terdedah dalam pilihan raya pertengahan penggal tahun depan.
Dalam video baharu itu, Mamdani berkata, matlamatnya ialah “untuk menarik semula sokongan rakyat kepada parti Demokrat” dan beliau menegaskan bahawa beliau menang di beberapa kawasan kejiranan New York City yang sebelum ini mengundi Trump dalam pilihan raya presiden tahun lalu.
Selepas kemenangan Mamdani disahkan lembaga pilihan raya, Trump ketika ditanya bagaimana beliau akan menangani jika Mamdani menang pilihan raya dan cuba menghalang penahanan pendatang, berkata:
“Nah, kita perlu tahan dia. Lihat, kita tak perlukan Komunis dalam negara ini. Tapi kalau kita ada seorang, saya akan perhatikan dia dengan sangat teliti demi negara.”
Mamdani sebelum ini berkata, serbuan terhadap pendatang itu “menakut-nakutkan rakyat” dan ejen yang melaksanakannya tidak berminat untuk mematuhi undang-undang.
Cuomo yang memperoleh 44 peratus undian dalam kiraan akhir, menghubungi Mamdani untuk mengakui kekalahan sejurus keputusan awal pemilihan utama diumumkan pada Selasa lalu. Bekas gabenor itu boleh memasuki perlumbaan sebagai calon bebas, tetapi beliau belum mengumumkan secara terbuka sama ada akan berbuat demikian.
Selain Adams, Mamdani juga akan berdepan calon Republikan Curtis Sliwa, seorang penyampai radio yang terkenal sebagai pengasas rondaan antijenayah Guardian Angels, serta peguam Jim Walden yang bertanding sebagai calon bebas.
Sistem undian berperingkat yang diguna pakai New York City sejak 2021 membolehkan pengundi menyusun sehingga lima calon mengikut keutamaan. Kertas undi dikira dalam apa yang boleh digambarkan sebagai siri pusingan penentuan segera.
Calon yang mendapat undian paling rendah disingkirkan secara berperingkat dan undi mereka diagihkan semula kepada calon yang masih bertanding sehingga salah seorang mencapai 50 peratus.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi