BANGI, 6 MUHARRAM – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung meluahkan rasa kesal apabila dua individu yang mengugut untuk membunuh dan memukul dirinya masih belum didakwa walaupun kejadian itu sudah berlaku sejak beberapa bulan lalu.
Menurutnya, situasi itu berbeza dengan kes pelawak terkenal, Harith Iskander yang mana individu yang mengugutnya telah ditangkap, didakwa dan dihukum dalam tempoh hanya seminggu.
“Dua individu yang mengugut untuk bunuh dan pukul saya masih belum didakwa setelah berbulan.
“Individu yang mengugut bunuh Harith Iskander ditangkap, didakwa & dihukum dalam masa 7 hari sahaja,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan penahanan seorang lelaki yang dipercayai mengugut pelawak terkenal, Harith Iskander dan keluarganya susulan hantaran media sosial pelawak itu yang dikatakan menyentuh isu ‘ham’.
Menurut laporan media, tempoh reman terhadap suspek bagi kes Harith disambung selama tiga hari, menjadikannya tujuh hari keseluruhan bagi membantu siasatan lanjut, seperti dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Terdahulu pada Mei, Firdaus yang juga pemilik portal media The Merdeka Times (TMT) mempersoalkan mengapa masih tiada sebarang pendakwaan dilakukan terhadap individu bernama Mohan Raj Thangaraju yang mengugut untuk membunuhnya selepas membangkitkan isu pembinaan kuil haram di negara ini
Katanya, beliau membangkitkan perkara itu kerana kertas siasatan kes berkenaan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut, namun suspek masih bebas dan belum didakwa meskipun hampir dua bulan telah berlalu.
Dalam perkembangan sama, rata-rata netizen di ruangan komen Facebook milik Firdaus Wong turut menyuarakan rasa tidak puas hati apabila tiada sebarang tindakan diambil terhadap individu yang mengugutnya, meskipun sudah berbulan laporan dibuat dan masih belum didakwa.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi