Kota Madani simbol keangkuhan seorang pemimpin lupa daratan – Wan Fayhsal

BANGI, 5 MUHARRAM – “Seruan Perdana Menteri supaya penjawat awam mempertahankan projek Kota Madani bukan sahaja dangkal, malah melambangkan tahap kebongkakan dan penyelewengan keutamaan yang melampau.”

Demikian teguran keras Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berhubung kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa penjawat awam berdiri teguh mempertahankan projek mega berkenaan.

Terdahulu, Anwar meminta penjawat awam mempertahankan inisiatif Kota Madani yang dirangka kerajaan demi kebajikan mereka dengan penyediaan 10,000 unit kuarters moden. 

Katanya, projek berimpak tinggi itu merupakan antara usaha strategik kerajaan untuk menyediakan perumahan berkualiti kepada penjawat awam tanpa membebankan kewangan negara.

Kota Madani ini dijangka menyediakan 3,000 unit rumah pada fasa pertama, sebelum berkembang kepada 10,000 unit dalam fasa kedua bagi memenuhi permintaan tinggi dalam kalangan penjawat awam yang masih menunggu kemudahan perumahan.

Mengulas perkara itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, sudah tiba masanya rakyat dan penjawat awam membuka mata terhadap helah licik Madani yang kian terpisah daripada realiti hidup rakyat.

“Di saat hospital kehabisan ubat, sekolah daif menanti roboh, dan harga barang makin menggila, Anwar Ibrahim memilih untuk menabur berbilion ringgit ke atas sebuah monumen ego yang langsung tidak memberi manfaat nyata kepada rakyat marhaen.

“Ini bukan pembangunan, ini bukan kemajuan – ini adalah pembaziran berselindung di sebalik retorik Madani yang sudah hilang makna,” katanya menerusi kenyataan di Facebook. 

Beliau turut menyelar tindakan Perdana Menteri yang menggunakan ayat suci al-Qur’an dan istilah “Madani” untuk mewajarkan pembinaan Kota Madani, yang disifatkannya sebagai penghinaan terhadap agama dan kebijaksanaan rakyat.

“Ia umpama membalut najis dengan serban – tampak suci di luar, tetapi busuk dan jijik di dalam,” katanya.

Wan Fayhsal turut mempersoalkan, apakah ini wajah sebenar perjuangan reformasi yang kononnya memperjuangkan rakyat, atau sebenarnya hanya bertujuan memenuhi kerakusan politik seorang Perdana Menteri yang obses dengan legasi peribadi.

“Apakah ini yang dimaksudkan dengan ‘perjuangan reformasi’? Apakah ini wajah sebenar kerajaan kononnya prihatin rakyat – meminta penjawat awam setia bukan kepada negara, tetapi kepada kerakusan politik dan projek vanity seorang Perdana Menteri?,” soal beliau.

Sehubungan itu, beliau menggesa para penjawat awam yang menjadi tunjang pentadbiran negara agar menolak arahan tersebut, kerana ia tidak membawa kepentingan kepada negara, sebaliknya hanya melindungi kerakusan kuasa pemerintah.

“Jika anda benar-benar sayangkan Malaysia – bangkit, dan tolak pengkhianatan ini. Kota Madani bukan lambang kemajuan, ia adalah simbol keangkuhan seorang pemimpin yang lupa daratan,” katanya. 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kemenangan Mamdani di New York lonjak politik pro-Palestin di AS

Next Post

Bagaimana proses pelantikan Ketua Hakim Negara?

Related Posts