‘Katakan tidak kepada homoseksualiti’: WAFIQ syor KKM kerjasama dengan mufti

BANGI, 5 MUHARRAM – Presiden WAFIQ, Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berganding bahu dengan institusi mufti bagi melaksanakan kempen kesihatan berasaskan nilai agama, susulan peningkatan kes HIV dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Mengulas pendedahan KKM bahawa seramai 1,091 pelajar IPT telah disahkan menghidap HIV sejak tahun 2020 hingga 2024 – dengan 222 kes baharu direkodkan sepanjang tahun lalu – beliau menekankan bahawa pendekatan semasa perlu diperbetulkan dan diperkukuh dengan kerjasama institusi agama.

“Berganding bahu dengan mufti memberi kempen menyeluruh kepada remaja dan pelajar IPT dengan slogan dan poster pencegahan:

“Katakan Tidak Kepada Homoseksualiti. Homoseksualiti adalah berisiko untuk HIV,” katanya dalam hantaran di Facebook. 

Menurut Dr Rafidah, mesej tersebut bukanlah satu bentuk stigma, sebaliknya satu bentuk peringatan dan langkah pencegahan yang wajar dalam konteks kesihatan awam. 

Beliau menegaskan bahawa homoseksualiti terbukti menjadi salah satu faktor penyumbang utama kepada penularan HIV dan perlu ditangani dengan berani serta jujur.

Dalam pada itu, Dr Rafidah mengingatkan supaya KKM tidak mengambil pendekatan Barat yang menggunakan konsep ‘pengurangan kemudaratan’ atau harm reduction sebagai alasan untuk memberikan ubat pencegahan HIV seperti Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) secara sewenang-wenangnya.

Beliau turut membantah kaedah yang meniru model Barat yang cuba memansuhkan keperluan mendapatkan kebenaran ibu bapa dalam pemberian PrEP kepada remaja bawah umur, yang menurutnya bertentangan dengan norma dan nilai masyarakat Malaysia.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni memaklumkan bahawa jangkitan HIV dalam kalangan pelajar IPT dikesan seawal usia 18 dan 19 tahun, sekali gus menunjukkan bahawa aktiviti berisiko berlaku lebih awal sebelum pengesanan dibuat.

Beliau juga mengakui bahawa KKM menghadapi cabaran besar dari segi akses ujian kendiri kepada remaja bawah umur, memandangkan ketiadaan perundangan khusus yang menyebabkan kebenaran ibu bapa perlu diperoleh sebelum ujian atau rawatan dijalankan.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Laporan letupan Putra Heights ‘cover-up’ terbesar dalam sejarah bencana – PAS

Next Post

SST: Isham tempelak saranan Anwar suruh tanam buah belakang rumah

Related Posts