WASHINGTON, 5 MUHARRAM – Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menunjukkan sikap berat sebelahnya apabila mempertimbangkan penjualan senjata bernilai AS$510 juta (sekitar RM2.4 bilion) kepada rejim haram Israel.
Perkara itu diumumkan oleh Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan (DSCA) AS semalam, sebagai reaksi kepada permintaan Israel untuk memperoleh ribuan kit panduan bom canggih.
Antara senjata yang diminta termasuk 3,845 kit panduan JDAM (Joint Direct Attack Munition) untuk bom penembus BLU-109 serta 3,280 kit panduan KMU-572 F/B JDAM bagi bom MK 82.
Walaupun dunia menyaksikan pembunuhan berterusan di Gaza, Washington tetap mempertahankan rejim Zionis dengan alasan keselamatan negara berkenaan, kononnya penting bagi kepentingan nasional AS.
“Amerika Syarikat komited terhadap keselamatan Israel dan ia adalah penting untuk kepentingan nasional AS bagi membantu Israel membangunkan dan mengekalkan keupayaan pertahanan kendiri yang kukuh,” kata kenyataan DSCA.
Jelasnya lagi, urus niaga itu akan mempertingkat keupayaan Israel menghadapi ancaman masa kini dan akan datang, termasuk mempertahankan sempadan, infrastruktur strategik serta kawasan kediaman penduduk.
Boeing, syarikat pengeluar senjata berpangkalan di St Charles, Missouri, dinamakan sebagai kontraktor utama bagi pembekalan peralatan bom tersebut. – MIDDLE EAST EYE
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi