BANGI, 5 MUHARRAM — UMNO berpandangan bahawa tidak wajar untuk parti dalam Kerajaan Perpaduan mengambil mana-mana ahli dalam kalangan parti komponen gabungan itu untuk mengelakkan tercetus prasangka dan ketidakharmonian dalam kerajaan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu adalah antara yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, malam tadi.
“UMNO berasakan tiada kewajaran untuk parti dalam Kerajaan Perpaduan mengambil mana-mana ahli dalam kalangan parti komponen gabungan (yang membentuk) kerajaan untuk mengelakkan tercetusnya prasangka dan ketidakharmonian dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan di laman sosialnya.
Kenyataan ini dipercayai mempunyai kaitan dengan perletakan jawatan ahli MKT parti itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang surat perletakan jawatan itu dihantar kepada Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan, pada 31 Mei lalu.
Perletakan jawatan Tengku Zafrul diikuti dengan hasrat Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri itu untuk menyertai PKR.
Sementara itu, Asyraf berkata, UMNO akan melaksanakan kajian separuh penggal keberkesanan dan prestasi Kerajaan Perpaduan, termasuk pencapaian kepemimpinan UMNO dalam anggota pentadbiran, agensi milik dan berkaitan kerajaan.
Selain itu, katanya MKT bersetuju meminda tarikh Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang dijadualkan berlangsung antara 20 hingga 23 Ogos ini kepada hujung tahun ini.
“Tarikh PAU 2025 dipersetujui untuk ditunda kepada 26 hingga 29 November depan, mengambil kira persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“UMNO juga merakamkan penghargaan kepada Badan Perhubungan UMNO Terengganu dan Perak kerana membantu pengurusan dan mengendalikan sumbangan kepada mangsa tragedi kemalangan bas di Gerik yang turut meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi