BANGI, 5 MUHARRAM – Seramai 1,091 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini disahkan menghidap HIV sejak tahun 2020 hingga 2024, dedah Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Katanya, sebanyak 222 kes baharu dikesan dalam kalangan pelajar IPT sepanjang tahun lalu sahaja, sebahagiannya membabitkan remaja seawal usia 18 dan 19 tahun.
“Pada tahun lalu, kita mencatatkan 222 jangkitan yang baharu (dalam pelajar IPT) daripada 3,185 jumlah keseluruhan jangkitan pada tahun lalu.
“Ini bermaksud, aktiviti-aktiviti (berisiko) ini sudah pun berlangsung lebih awal,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Mengulas langkah yang diambil kementerian bagi membendung penularan jangkitan HIV, Lukanisman berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkenalkan kaedah pencegahan menerusi penggunaan Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) yang kini dilancarkan di beberapa fasiliti kesihatan.
Katanya, inisiatif tersebut sudah menunjukkan kejayaan, namun cabaran besar masih wujud, khususnya dalam menyediakan akses ujian saringan kendiri kepada golongan remaja di bawah umur.
“Apa yang menjadi satu permasalahan ketika ini adalah akses kepada ujian kendiri bagi remaja-remaja di bawah umur, di mana kita tidak mempunyai satu perundangan khusus.
“Kita memerlukan kebenaran ibu bapa untuk menjalankan ujian kendiri dan juga kebenaran untuk mendapatkan rawatan. Ini agak menyukarkan remaja-remaja yang ingin tampil ke hadapan,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi