UMNO patut buang nama penjajah, kembali jadi PEKEMBAR – Aminuddin

BANGI, 4 MUHARRAM – Presiden Nasionalis, Haji Aminuddin Yahaya mencadangkan supaya UMNO menukar nama parti itu daripada ‘United Malays National Organisation’ kepada nama asal dalam bahasa Melayu iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR).

Katanya, cadangan itu sejajar dengan matlamat dan semangat perjuangan UMNO sendiri yang kononnya mahu memperjuangkan nasib orang Melayu.

“Untuk yang tidak tahu, UMNO itu adalah singkatan dari United Malays National Organisation. 

“Bermakna ia adalah nama dalam bahasa penjajah. Nama UMNO dalam bahasa Melayu ialah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR,” katanya dalam satu hantaran di Facebook. 

Beliau turut memuat naik gambar Kongres Melayu Se-Malaya yang menurutnya telah dihadiri oleh Datuk Onn Jaafar — tokoh yang mencetuskan idea penubuhan PEKEMBAR.

Haji Aminuddin berkata, sudah tiba masanya ahli-ahli UMNO mempertimbangkan perubahan nama tersebut, dan menjadikan ia sebagai usul penting dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan datang.

“Tidak salah kalau saya boleh cadangkan kepada ahli-ahli UMNO untuk menukar nama UMNO kepada PEKEMBAR dalam PAU akan datang.

“Sesuai dengan perjuangan mereka untuk memperjuangkan Melayu maka seharusnya menggunakan nama Melayu, bukan nama bahasa penjajah. 

“Mungkin ini satu lonjakan baru untuk UMNO bagi menguatkan semangat Melayu mereka.

“Apapun terserahlah kepada ahli-ahli UMNO. Renungkanlah,” katanya.

Sebelum ini, pelbagai pihak turut mempersoalkan kedudukan dan hala tuju UMNO yang dilihat semakin lari daripada semangat asal penubuhannya pada tahun 1946 — yang berpaksikan agenda bangsa dan tanah air.


Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Anwar nafi campur tangan dalam urusan Kehakiman

Next Post

Kubur bukan tempat mencari keberkatan

Related Posts