PUNCAK ALAM, 4 MUHARRAM — Pelantikan Ketua Hakim Negara perlu diselesaikan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman tanpa perlu ada campur tangan luar, demikian tegas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, campur tangan luar dalam menentukan jawatan tertinggi kehakiman negara dikhuatiri akan mendorong kepada pemilihan seorang calon yang tidak sesuai.
“Kita dah beri tanggungjawab kepada suruhanjaya itu. Suruhanjaya mempunyai ahli yang cukup untuk mereka membuat penilaian terhadap prestasi (calon).
“Kalau seseorang itu tidak pernah jadi hakim di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan pun tak pernah, tiba-tiba nak jadi hakim tertinggi sekali. Kita perlukan Ketua Hakim yang mempunyai pengalaman luas,” katanya ketika mengulas isu pelantikan Ketua Hakim Negara yang masih menjadi teka-teki.
Sebagai rekod, Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Mat akan bersara pada 1 Julai ini.
Mahathir berkata, keputusan yang dibuat oleh Maimun mudah diterima semua pihak kerana pengalamannya yang luas.
Maimun pada Januari menegaskan, pihak yang cuba mengganggu atau menghalangi kebebasan fungsi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dianggap melakukan jenayah.
Beliau pada April lalu, menggesa agar perdana menteri tidak lagi berperanan dalam pelantikan kehakiman ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Undang-undang Komanwel ke-24 di Malta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan kerajaan tidak campur tangan urusan pelantikan hakim.
Katanya, lanjutan hakim tidak dilakukan secara automatik dan mesti mengikut prosedur bawah Perlembagaan Persekutuan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi