“Dunia sudah lupa Gaza, kecuali Israel.”
Demikian luahan kesal Ketua Perhubungan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kelantan, Ustaz Sharipudin Ab Kadir, ketika mengulas perkembangan terkini bumi Palestin yang seolah-olah semakin lenyap dari ingatan umat Islam dan masyarakat dunia.
Katanya, gencatan senjata yang dicanang oleh Amerika Syarikat (AS) tidak lain hanyalah ‘gencatan’ antara Israel dan batu nisan umat Islam Gaza yang telah gugur syahid dalam siri serangan kejam rejim Zionis sejak Oktober lalu.
“Gaza sudah lenyap dan berkubur. Dunia sudah mula melupai Gaza. Israel sahaja yang kekal tetap untuk menguasai Gaza dengan tindakan menggila.
“Israel bebas untuk melakukan penghapusan sepenuhnya umat Islam di Gaza. Sudah tiada sebarang kutukan atau celaan kepada Israel dari negara-negara Islam.
“Hanya kutukan bersahaja dari beberapa negara Barat sebagai selingan di tengah-tengah siaran berita,” katanya.
Beliau yang juga Perunding Kanan Politik dan Perundangan ISMA berkata, bumi Gaza kini menjadi layar tayangan filem keganasan secara langsung, tanpa sebarang skrin.
“Gencatan senjata anjuran AS akan berlaku dalam tempoh seminggu lagi. Itu kata Presiden AS, Donald Trump.
“Maknanya, dalam tempoh seminggu ini, Israel perlu hancurkan Gaza hingga semua yang ada menjadi abu luluh berkecai. Itu yang sedang berlaku sekarang,” katanya.
Terdahulu, Trump ketika menghadiri satu acara di Pejabat Oval sempena perjanjian antara Congo dan Rwanda, memberitahu wartawan bahawa beliau percaya rundingan gencatan senjata kini berada di fasa akhir dan mungkin dapat dicapai dalam tempoh seminggu.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi