BANGI, 4 MUHARRAM — Kontroversi-kontroversi yang membabitkan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, yang disebut-sebut bakal menjadi Ketua Hakim Negara, akan mewujudkan kecurigaan terhadap sistem kehakiman negara jika beliau dilantik mengisi jawatan itu.
Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Ahmad Terrirudin sedang berdepan kes penghinaan mahkamah yang difailkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap isu titah adendum yang menjadi kontroversi bidang perundangan pada awal tahun lalu.
“Bayangkan seorang Hakim Mahkamah Persekutuan menghadapi permohonan penghinaan mahkamah.
“Persoalannya bolehkah beliau dicalonkan atau dinamakan sebagai orang yang akan menduduki kerusi tertinggi sementara beliau menghadapi kes penghinaan mahkamah.
“Bagaimana jika beliau didapati bersalah menghina mahkamah?” katanya dalam segmen Pertiwi Podcast baru-baru ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas ura-ura bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menaikkan Ahmad Terrirudin sebagai Ketua Hakim Negara menggantikan Tengku Maimun Tuan Mat yang akan bersara 1 Julai ini.
Justeru, Ahmad Terrirudin disyorkan tidak duduk sebagai hakim untuk mendengar sebarang rayuan buat masa ini.
Najib, yang kini dipenjarakan atas kesalahan salah guna kuasa berkaitan kes SRC International, telah memfailkan permohonan proses penghinaan mahkamah terhadap Terrirudin yang akan ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Ogos ini.
Ujar Haniff, peguam Najib telah pun membuat laporan polis terhadap Ahmad Terrirudin berhubung dakwaan menyembunyi titah adendum yang boleh disiasat di bawah Seksyen 204 dan Seksyen 209 Kanun Keseksaan.
“Kita tidak mahu mendahului polis, tetapi pokoknya ada laporan polis Hakim Mahkamah Persekutuan.
“Pelantikannya bakal menimbulkan kecurigaan terhadap sistem kehakiman. Ini perkara yang budak tadika pun boleh nampak,” katanya.
Ahmad Terrirudin yang juga bekas Peguam Negara turut berdepan beberapa kontroversi lain, antaranya beliau bertanggungjawab melepaskan 47 kes rasuah membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dan Yayasan Akal Budi miliknya.
“Jadi keputusan 4 September 2023 untuk menggugurkan pertuduhan semestinya adalah dibawah teraju Ahmad Terrirudin,” ujar Haniff.
Sebagai rekod, negara bakal menyaksikan kekosongan di peringkat kehakiman tertinggi pada tahun ini apabila sembilan hakim kanan dijadual bersara termasuk Ketua Hakim, Tengku Maimun Tuan Mat yang tidak disambung kontrak dan bakal bersara bermula 1 Julai.
Manakala pada 2 Julai, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Amar Abang Iskandar Abang Hashim pula dijadualkan bersara.
Selain itu, nama lain termasuk Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli; Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Hanipah Farikullah dan Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal.
Lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang masih tinggal untuk mendengar kes-kes di peringkat rayuan ialah Datuk Rhodzhariah Bujang, 64, Datuk Abu Bakar Jais, 63, Datuk Nordin Hassan, 62, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, 63 dan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Haniff berkata, walaupun calon-calon untuk mengisi jawatan kosong sudah ada di kalangan barisan hakim, pengisian tersebut wajar dibuat mengikut adat kebiasaan iaitu individu paling kanan, banyak menulis penghakiman dan tidak mempunyai kontroversi.
Ahmad Terrirudin dalam pada itu turut terpalit satu laporan media berhubung teguran Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang diterajui Tengku Maimun mengenai salah seorang Hakim Mahkamah Persekutuan berpangkat Tan Sri untuk tidak mencampuri urusan pelantikan hakim.
Walaupun laporan tersebut tidak menamakan mana-mana hakim, pegawai Ahmad Terrirudin membuat laporan polis mengenai kebocoran maklumat tersebut.
“Maksudnya kandungan laporan itu betul. Kalau kata tak boleh, awak buat laporan polis mengenai kenyataan palsu dan kebocoran kenyataan palsu.
“Tidakkah ia satu skandal? Tak malukah perkara ini?” tambah Haniff.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi