BANGI, 29 ZULHIJJAH — Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada empat pertuduhan, ditawarkan untuk menerajui kembali MUDA.
Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz berkata, keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) parti itu, semalam.
Menurutnya, tawaran itu dibuat berdasarkan dua prinsip, iaitu pertama, Syed Saddiq sudah membersihkan nama dan integriti beliau melalui proses mahkamah yang telus dan adil, manakala kedua secara konsisten, mempertahankan maruah dan nama baik MUDA sepanjang menjadi Ahli Parlimen.
Katanya, jawatan Presiden MUDA dipangkunya sepanjang proses mahkamah berlangsung selepas jawatan yang disandang Syed Saddiq dikosongkan.
“Saya juga perlu merekodkan keputusan parti mengosongkan kerusi sepanjang proses pendakwaan adalah iltizam politik yang tidak pernah lagi dibuat mana-mana pemimpin politik Malaysia yang sedang didakwa di mahkamah.
“JKEP berpandangan, dengan kembalinya Syed Saddiq dalam tampuk kepemimpinan parti, beliau dapat mengukuhkan parti, terutama dalam usaha mengemudi MUDA bagi menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mahkamah Rayuan di Putrajaya semalam, melepas dan membebaskan Syed Saddiq selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan beliau secara tidak jujur menyebabkannya memperoleh keuntungan secara salah dan kerugian kepada Armada BERSATU.
Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa itu berkata, JKEP menghormati keperluan Syed Saddiq mempertimbangkan tawaran berkenaan dan bersetuju memberikan ruang secukupnya kepadanya.
Beliau menegaskan MUDA akan sentiasa memberi sokongan penuh kepada Syed Saddiq serta memohon rakyat terus mendoakan kemudahan dalam urusan MUDA membina negara.
“Selepas lima tahun berdepan pendakwaan dan proses mahkamah, saya amat memahami keperluan untuk parti memberi ruang secukupnya kepada Syed Saddiq memberi keutamaan kepada urusan keluarga sebelum kembali menggalas amanah sebagai presiden.
“Bagi saya, keluarga lebih utama. Saya juga ingatkan Syed Saddiq masih berkhidmat sepenuh masa sebagai Ahli Parlimen Muar. Politik khidmat Syed Saddiq tidak pernah culas. Ini jelas tiada perubahan,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi