NEW YORK, 29 ZULHIJJAH — Israel melancarkan serangan luar biasa terhadap tapak ketenteraan dan nuklear Iran pada 13 Jun lalu, sehari selepas Lembaga Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) meluluskan usul yang menyatakan Tehran gagal mematuhi komitmen terhadap langkah keselamatan nuklear.
Walaupun Israel tidak menggunakan usul agensi nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membenarkan serangan tersebut, Kementerian Luar Israel menyambut baik usul itu dengan menyifatkan sebagai “langkah perlu yang sudah lama tertangguh” mengesahkan “program senjata nuklear rahsia sistematik Iran”.
Kementerian Luar dan Organisasi Tenaga Atom Iran dalam kenyataan bersama mengecam usul itu sebagai “bermotif politik”. Iran menyatakan bahawa usul itu “secara serius menjejaskan kewibawaan dan integriti IAEA”.
Tehran menegaskan program nuklear negara itu adalah untuk tujuan awam, malah semua kemudahan berkaitan dipantau oleh agensi nuklear PBB.
Berikut ialah penjelasan mengenai kenyataan IAEA terhadap program nuklear Iran awal bulan ini, mengapa ia dikritik oleh Tehran dan peristiwa lampau apabila tindakan IAEA turut menjadi tumpuan kritikan.
Adakah IAEA berpendapat Iran sedang membina senjata nuklear?
IAEA tidak dapat membuat penilaian penuh terhadap program tenaga nuklear Iran kerana sejak Februari 2021, Tehran menghentikan pelaksanaan Protokol Tambahan yang membenarkan kuasa pemeriksaan lebih meluas termasuk lawatan mengejut dan pemantauan berterusan.
Bagaimanapun, Iran masih mematuhi Perjanjian Langkah Keselamatan Komprehensif IAEA selepas 2021 yang membenarkan akses ke lokasi nuklear yang diisytiharkan (Natanz, Fordow, Bushehr) serta pemantauan dan pengesahan rutin bahan nuklear yang diisytiharkan.
Namun pada 9 Jun, Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi, dalam sidang media di Vienna, menyatakan bahawa kegagalan Iran baru-baru ini untuk mematuhi kewajipan pelaporan telah “menyebabkan pengurangan ketara keupayaan agensi untuk mengesahkan sama ada program nuklear Iran sepenuhnya bersifat aman”.
Dalam mesyuarat Lembaga Pengarah IAEA antara 9 hingga 13 Jun, Grossi berkata Iran “berulang kali gagal menjawab” soalan agensi berhubung kewujudan zarah uranium buatan manusia di tiga lokasi, iaitu Varamin, Marivan dan Turquzabad.
Grossi turut menyatakan “pengumpulan pesat uranium diperkaya tinggi” oleh Iran sebagai “kebimbangan serius”, merujuk kepada fasiliti pengayaan uranium sehingga 60 peratus di Fordow dan Natanz.
Pada 2023, IAEA telah menemui zarah uranium dengan ketulenan 83.7 peratus di Fordow, hampir kepada tahap 90 peratus yang diperlukan untuk membuat bom atom.
Pada 12 Jun, sehari sebelum serangan Israel ke atas kemudahan nuklear Iran, Lembaga IAEA meluluskan usul yang menyatakan Tehran telah melanggar kewajipan bukan proliferasi senjata nuklear.
Wartawan Al Jazeera, Hashem Ahelbarra yang membuat liputan dari Vienna pada 12 Jun, melaporkan bahawa ini merupakan kali pertama dalam hampir 20 tahun IAEA secara rasmi menuduh Iran melanggar komitmen bukan proliferasi.
Namun minggu lalu, Grossi menegaskan bahawa IAEA tidak menemui sebarang bukti bahawa Iran sedang membina senjata nuklear.
Dalam wawancara bersama Al Jazeera pada 19 Jun, Grossi menyatakan dengan jelas bahawa pelanggaran oleh Iran tidak membawa kepada kesimpulan bahawa Tehran sedang menghasilkan senjata nuklear.
“Kami tidak melihat sebarang unsur yang membolehkan kami, sebagai pemeriksa, menyatakan bahawa terdapat senjata nuklear yang sedang dibina atau dihasilkan di mana-mana tempat di Iran,” katanya.
AS dan Israel gunakan usul IAEA untuk justifikasi serangan
Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance, merujuk usul IAEA sebagai justifikasi tindakan ketenteraan terhadap Iran.
“Mereka telah didapati melanggar kewajipan bukan proliferasi oleh IAEA, yang bukan sebuah organisasi berhaluan kanan,” katanya di platform X pada 17 Jun.
Presiden AS mengarahkan tentera negara itu mengebom tiga lokasi Iran pada 22 Jun, keputusan yang disambut baik oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang sejak beberapa dekad lalu mendakwa Iran hampir memiliki senjata nuklear.
Donald Trump pula mendakwa bahawa tapak-tapak nuklear tersebut telah “dimusnahkan sepenuhnya” dan program nuklear Iran telah “mundur beberapa dekad”.
Bagaimana Iran bertindak balas?
Pada 23 Jun, Jawatankuasa Keselamatan Negara Parlimen Iran meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) untuk menggantung kerjasama Tehran dengan IAEA, menurut jurucakapnya, Ebrahim Rezaei kepada agensi berita Tasnim.
Rezaei menyatakan bahawa undang-undang itu akan menggantung pemasangan kamera pemantauan, kebenaran pemeriksaan dan penyerahan laporan kepada IAEA selagi keselamatan kemudahan nuklear Iran tidak dijamin.
Iran menyertai IAEA pada 1959. Pada 25 Jun , Parlimen Iran meluluskan undang-undang tersebut.
Rezaei juga menegaskan bahawa Iran mempunyai hak sebagai penandatangan Perjanjian Bukan Proliferasi Senjata Nuklear (NPT) sejak 1968 untuk membangunkan teknologi nuklear bagi tujuan aman, termasuk pengayaan uranium.
Bagaimanapun, pengunduran daripada perjanjian NPT memerlukan kelulusan penuh Parlimen.
Tehran telah lama menyuarakan bahawa NPT gagal melindungi negara itu daripada ancaman atau serangan oleh negara bersenjata nuklear seperti AS dan sebuah lagi negara yang secara meluas dipercayai memiliki senjata nuklear, iaitu Israel.
Pihak berkuasa Iran menuduh Grossi menggunakan isu ini untuk kepentingan peribadi dalam mengejar cita-cita menjadi Setiausaha Agung PBB dengan memihak kepada retorik Barat.
Pada 1 Jun, Ketua Organisasi Tenaga Atom Iran, Mohammad Eslami, berkata kepada televisyen negara: “Rafael Grossi, yang dipacu oleh cita-cita tinggi untuk menjadi Setiausaha Agung PBB, sedang berusaha untuk meraih sokongan beberapa negara tertentu dan menyesuaikan dirinya dengan agenda mereka.”
Adakah IAEA kontroversi dalam isu Fukushima?
Pada Jun 2023, kerajaan Jepun mula melepaskan air yang telah dirawat tetapi masih radioaktif dari loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi ke Lautan Pasifik.
IAEA memberikan kelulusan kepada pelan tersebut selepas penilaian keselamatan selama dua tahun.
Ketika itu, Grossi menyatakan bahawa penilaian keselamatan agensi menyimpulkan pelan itu “konsisten dengan piawaian keselamatan antarabangsa… (dan) pelepasan air secara terkawal dan beransur-ansur ke laut akan memberi kesan radiologi yang sangat kecil kepada manusia dan alam sekitar”.
Lebih 1.3 juta tan air telah terkumpul di loji Fukushima sejak tsunami Mac 2011 memusnahkan sistem elektrik dan penyejukan loji itu, mencetuskan bencana nuklear terburuk dunia sejak Chornobyl.
Pelepasan air yang bermula pada Ogos 2023 mendapat tentangan hebat negara jiran Jepun dan negara kepulauan Pasifik, serta komuniti nelayan dan petani sekitar Fukushima yang bimbang terhadap sumber mata pencarian mereka.
China secara khusus merupakan pengkritik tegas terhadap pelan pelepasan air itu. Dalam kenyataan selepas laporan IAEA pada Julai 2023, Kementerian Luar China mengkritik pelepasan yang “terlalu tergesa-gesa” dan mendakwa “gagal mengambil kira sepenuhnya pandangan pakar”.
Adakah isu Iran mengingatkan kepada Perang Iraq?
Bagi beberapa pemerhati, ya.
Menjelang pencerobohan AS ke atas Iraq pada 2003, AS dan United Kingdom mendakwa Iraq memiliki Senjata Pemusnah Besar-besaran (WMD) termasuk senjata kimia dan sedang membangunkan program senjata nuklear.
Dakwaan ini menjadi alasan utama untuk tindakan ketenteraan atas alasan Iraq merupakan ancaman kepada keselamatan serantau dan global.
Menjelang akhir 2002, IAEA menjalankan beberapa pemeriksaan ke atas program senjata Iraq. Awal 2003, agensi itu mengenal pasti kewujudan tiub aluminium berdaya tahan tinggi di Iraq yang secara teori boleh digunakan untuk memperkaya uranium bagi kegunaan kepala peledak nuklear.
Tiub aluminium ini menjadi bukti utama dalam justifikasi pencerobohan oleh pentadbiran Bush. Ia dijadikan simbol fizikal untuk membina naratif bahawa Iraq membawa ancaman besar.
“Tiub itu hanya sesuai digunakan untuk program senjata nuklear,” kata Penasihat Keselamatan Negara AS, Condoleezza Rice pada 8 September 2002. “Kita tidak mahu ‘bukti kukuh’ itu muncul dalam bentuk awan cendawan.”
Namun, IAEA menolak teori bahawa tiub itu ditujukan untuk program nuklear. Selepas pencerobohan, tiada sebarang program WMD aktif ditemui di Iraq. – AL JAZEERA
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi