BANGI, 29 ZULHIJJAH — Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan supaya tidak ada sebarang usaha menyapu isu campur tangan dalam urusan kehakiman negara ke bawah karpet atau mengheret institusi kehakiman ke dalam kancah polemik politik sempit.
Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, sebaliknya semua pihak, terutama badan kehakiman, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan pihak eksekutif, perlu bertindak dengan penuh tanggungjawab, telus dan profesional.
Menurutnya, Pemuda PAS memandang serius laporan media yang menyebut seorang hakim kanan telah dipanggil oleh JAC bagi memperjelaskan dakwaan kewujudan campur tangan dalam urusan kehakiman negara.
Katanya, dakwaan itu bukan sahaja mencemarkan kredibiliti institusi kehakiman, malah berpotensi menggugat kepercayaan awam terhadap sistem keadilan negara.
“Pemuda PAS menyokong penuh gesaan Badan Peguam Malaysia agar satu pendedahan rasmi dan telus dilakukan bagi memastikan kesahihan laporan tersebut, termasuk cadangan untuk mendapatkan minit mesyuarat JAC melalui saluran perundangan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Sebagai sebahagian daripada kerajaan dan pihak berkepentingan dalam menegakkan prinsip demokrasi, katanya Pemuda PAS berpandangan bahawa kebebasan institusi kehakiman adalah asas kedaulatan undang-undang dan wajib dipertahankan daripada sebarang pengaruh politik, eksekutif mahu pun pihak berkepentingan ekonomi.
Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, sebarang bentuk gangguan terhadap integriti institusi kehakiman, sama ada secara langsung atau tersirat, adalah satu bentuk pencabulan terhadap Perlembagaan dan harus disiasat secara terbuka, menyeluruh dan segera.
“Jika laporan ini benar, maka ia adalah isyarat jelas bahawa terdapat usaha terancang untuk mengawal keputusan kehakiman bagi kepentingan tertentu, yang amat berbahaya kepada amalan demokrasi dan keadilan negara.
“Namun jika laporan ini tidak benar, pembersihan reputasi kehakiman juga wajib dilakukan secara adil dan telus, agar nama institusi kehakiman tidak terus tercemar oleh persepsi awam,” katanya.
Beliau berkata, Pemuda PAS akan terus memantau perkembangan ini dan memainkan peranan sewajarnya untuk memastikan kebenaran ditegakkan dan kebebasan institusi kehakiman dipertahankan sepenuhnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi