NEW DELHI, 29 ZULHIJJAH – Kerajaan negeri Assam yang ditadbir Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi, telah melancarkan tindakan keras terhadap penduduk Muslim yang dikategorikan sebagai ‘warga asing yang diisytihar’, dengan mengusir mereka ke sempadan Bangladesh secara paksa.
Sejak awal Mei lalu, lebih 300 penduduk Muslim telah dihantar ke sempadan Bangladesh dalam operasi yang kononnya disifatkan sebagai usaha ‘menyelamatkan negeri’, menurut Ketua Menteri Assam, Himanta Biswa Sarma.
Dia turut memberi amaran bahawa tindakan pengusiran ini akan diperhebatkan dalam masa terdekat.
Antara mangsa tindakan kejam itu ialah Ufa Ali, 67, seorang mekanik basikal dari Kampung Kuyadal, daerah Morigaon, Assam.
Pada 23 Mei lalu, dia ditahan polis di rumah sewanya sebelum dibawa ke pusat tahanan Matia di daerah Goalpara – kem tahanan terbesar India bagi warga tanpa dokumen, yang terletak lebih 200 kilometer dari kediamannya.
Tiga hari kemudian, dia bersama 13 yang lain – termasuk lima wanita – telah dibawa menaiki van oleh Pasukan Keselamatan Sempadan India (BSF) ke kawasan sempadan India-Bangladesh.
Mereka kemudian dipaksa melintasi sempadan, namun ditolak oleh pihak berkuasa Bangladesh, termasuk Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB), atas alasan mereka adalah rakyat India.
“Kami terperangkap di kawasan tak bertuan selama 12 jam, berdiri dalam air separas lutut tanpa makanan atau perlindungan,” kata Ali kepada media.
Gambar Ali dalam keadaan duduk mencangkung di kawasan berpaya, dengan wajah pilu memandang ke arah kamera, tular di media sosial dan mengundang simpati ramai.
“Kami menyaksikan neraka di bawah langit biru. Hidup seakan-akan meninggalkan kami,” katanya.
Ali turut mendakwa bahawa mereka ditembak dengan peluru getah oleh anggota BSF apabila merayu agar tidak dihantar ke seberang sempadan.
“Kami seolah-olah tidak memiliki negara. Tiada tempat untuk kami kembali,” ujarnya.
Seorang lagi mangsa, Rahima Begum, 50, dari daerah Golaghat, turut berkongsi pengalaman getir yang sama.
“Saya dipukul oleh anggota BGB apabila cuba berlari ke arah Bangladesh. Sementara itu, BSF mengugut akan menembak mati jika kami enggan menyeberang,” katanya.
Ketegangan etnik di Assam telah memuncak sejak BJP mula mentadbir negeri itu pada 2016. Assam kini mencatat peratusan penduduk Muslim tertinggi di India, iaitu lebih satu pertiga daripada 31 juta penduduk negeri tersebut. – Al Jazeera
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi