GAZA, 28 ZULHIJJAH – Rejim Israel meneruskan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 40 rakyat Palestin.
Pada masa sama, tentera Israel turut mengarahkan pemindahan baharu di beberapa kawasan, menambahkan lagi penderitaan penduduk yang telah lama dihimpit krisis kemanusiaan.
Serangan berdarah itu berlaku hanya beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Iran.
Gencatan senjata itu pada awalnya membangkitkan harapan bahawa lebih 20 bulan konflik di Gaza akan berakhir.
Namun, tindakan Israel yang terus menggempur Gaza menghapuskan sebarang harapan ke arah perdamaian.
Selama ini, wilayah Gaza musnah teruk akibat serangan berterusan, manakala majoriti penduduknya kehilangan tempat tinggal dan hidup dalam kebuluran.
Rakyat Gaza turut menyuarakan kekecewaan kerana perjanjian antara kuasa besar itu langsung tidak melibatkan nasib mereka.
“Cukuplah! Seluruh dunia telah mengkhianati kami. Hizbullah capai perjanjian tanpa Gaza, sekarang Iran pun sama,” kata Adel Farouk, 62, dari Gaza City kepada Reuters.
“Kami hanya berharap Gaza akan menjadi yang seterusnya (diberi perhatian),” tambahnya.
Beberapa jam kemudian, dua letupan dilaporkan berlaku di Tehran, memburukkan lagi ketegangan antara pihak terlibat.
Trump kemudiannya menuduh kedua-dua pihak – Israel dan Iran – telah melanggar syarat perjanjian, namun meluahkan kekecewaan khusus terhadap Israel.
Dalam kenyataan luar biasa yang penuh kemarahan, beliau mengecam Israel dengan kata-kata kesat, mencerminkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan sekutunya itu.