BANGI, 27 ZULHIJJAH — Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim dibidas seorang mahasiswa yang bertanggungjawab membakar karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sabah selepas beliau mengkritik tindakan itu.
Muhamad Fadhil Muhamad Kasim, mahasiswa tahun akhir di Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengimbau kembali tindakan Anwar yang ketika itu Yang Di-Pertua Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) semasa berdemonstrasi dan membakar buku Tunku Abdul Rahman.
“Justeru jawatankuasa PBMUM dipimpin Anwar melakukan upacara mengebumikan buku karya Tunku dengan berdemonstrasi dan membakarnya di khalayak umum.
“Pimpinan Angkatan Belia Islam (ABIM), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan setiap organisasi penjilat Anwar Ibrahim hari ini nyata gagal menyoroti nuansa seorang Anwar itu sendiri, kerana bagi mereka yang paling penting sekarang adalah peluang mengipas untuk terus naik ke atas.
“Kamil Munim adalah contoh yang terbaik (selain Adam Adli),” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.
Muhammad Kamil sebelum ini berkata, perbuatan membakar karikatur Anwar bukan sahaja disifatkan keterlaluan dan biadab, malah menunjukkan mereka tidak mempunyai hujah yang sah.
Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan merujuk kepada himpunan anti-rasuah yang diadakan kumpulan aktivis pelajar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dikenali sebagai Suara Mahasiswa UMS di Kota Kinabalu yang mana mereka bertindak membakar karikatur Anwar pada akhir himpunan tersebut.
Dalam hantaran sama, Muhammad Fadhil berkata Anwar sering membawa naratif melawan rasuah di Sabah semasa menjadi pembangkang.
“Sekarang berbeza, Anwar mungkin lebih mengutamakan bagaimana untuk mengekalkan kekukuhan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Madani, sementara GRS itu sedang bergelumang dengan skandal rasuah yang luar biasa,” katanya.
Pengguna internet turut memberikan reaksi sinis terhadap kenyataan Kamil.
“Itulah yang kamu ajar dulu. Suruh dia tengok cermin,” kata Aliyul Xadir di laman Facebook Parti Keadilan Rakyat.
Seorang lagi pengguna mengingatkan Kamil mengenai tindakan PKR selaku pembangkang semasa zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN).
“Zaman Bersih dulu lagi teruk dah lupa ke?” soal Mat Yusof.
Sebagai rekod, dia merujuk kepada tindakan peserta himpunan Bersih yang merosakkan harta benda awam termasuk kereta polis semasa siri-siri demonstrasi Bersih di ibu negara semasa PKR berada dalam blok pembangkang.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi