BANGI, 26 ZULHIJJAH — UMNO bukan lagi ‘payung besar’ Melayu seperti yang didakwa pemimpin parti tersebut, kata Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Beliau berkata, perkara itu sudah terbukti menerusi prestasi UMNO ketika bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 2022, diikuti dengan prestasi pilihan raya enam negeri serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning.
Beliau berkata, kenyataan yang dibuat oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Sharkar Shamsuddin baru-baru ini juga menunjukkan bahawa beliau masih belum sedar hakikat penolakan UMNO dalam kalangan orang Melayu.
“Sharkar perlu akui bahawa gagasan Payung Besar Melayu muncul kerana payung UMNO telah rosak dan bocor.
“UMNO tidak lagi boleh diharapkan untuk mempertahankan kepentingan Melayu termasuk dalam isu-isu berkaitan agama Islam.
“Begitu juga dengan pemimpin Melayu dalam kerajaan campuran PH-BN sama ada dalam kementerian, agensi, GLC mahupun GOC yang gagal memainkan peranan bermakna dalam memperjuangkan nasib bangsa sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, kenyataan yang dibuat oleh MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan juga bercanggah dengan kenyataan veteran parti itu, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berhubung sokongan orang Melayu terhadap parti berkenaan.
Katanya, Ahmad menafikan kegagalan UMNO dalam kerajaan, manakala Raja Nong Chik secara terus terang mengakui bahawa orang Melayu sememangnya merasa semakin tersisih di bawah pemerintahan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keraja campuran PH-BN.
“Sharkar juga lupa, sekarang UMNO sudah tiada. Hanya tinggal ‘UMDAP’ yang telah meninggalkan agenda penyatuan ummah sejak melaungkan slogan ‘UMNO Go Solo’ pada 2021.
“UMNO memilih haluan yang hanya mementingkan individu, kuasa dan kerusi, bukan perjuangan.
“UMDAP lebuh memilih untuk bersama DAP yang menolak agenda Melayu-Bumiputera dengan dasar ‘Malaysia Malaysia’, dan parti Perdana Menteri yang tidak mempunyai agenda Melayu dan Bumiputera dalam Perlembagaan mahupun perjuangan mereka sejak dahulu lagi,” ujarnya.
Beliau berkata, Payung Besar Melayu muncul sebagai keperluang untuk menyatukan parti-parti politik Melayu, NGO dan gerakan Islam yang kini berpecah-belah dan kehilangan kekuatan.
Katanya, ia juga bertujuan untuk mengukuhkan semula suara kolektif Melayu yang semakin lemah dalam sistem pentadbiran negara.
Tambah beliau, ia juga menentang naratif yang menyekat suara Melayu di bawah label 3R yang semakin digunakan untuk membungkam hak bersuara orang Melayu, Bumiputera dan Islam.
“Payung Besar Melayu bukan sekadar slogan penyatuan, tetapi satu gerakan strategik untuk menghimpunkan semua kekuatan Melayu dari politik hingga masyarakat sivil demi membentuk satu pastukan Melayu yang benar-benar bersatu padu.
“Pemimpin yang berani, berprinsip dan ikhlas memperjuangkan kepentingan Melayu mesti diberikan mandat dalam PRU-16 dan PRN akan datang.
“Sebaliknya, pemimpin Melayu yang lembik, oportunis, mementingkan tengkuk dan tembolok masing-masing, serta tidak mampu berperanan walaupun berada dalam kerajaan perlu ditolak dan diganti,” tambahnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi