BANGI, 26 ZULHIJJAH — MCA Kuantan sebulat suara mencadangkan parti itu untuk keluar dari Kerajaan Madani.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua MCA Kuantan, August Teh dalam hantaran di Facebook semalam selepas selesai Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda MCA bahagian itu.
Beliau berkata, keputusan itu kerana kecewa dengan pentadbiran kerajaan hari ini yang menyebabkan keadaan rakyat semakin terkesan.
“Kos TNB naik, pelaksanaan SST yang tidak berkesan dan tidak masuk akal, hak bersuara rakyat ditekan, FDI yang lemah dan dasar yang sangat lemah dan membimbangkan.
“Walaupun MCA merupakan salah satu parti dalam Kerajaan Madani, akan tetapi, bersuara terhadap isu yang tidak betul pun dikenakan tindakan.
“Apa salah rakyat bersuara demi kebaikkan dan pentadbiran yang lebih telus?
“Justeru, Pemuda MCA Kuantan cadang MCA untuk keluar dari Kerajaan Madani,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, cadangan diutarakan itu adalah usul dari peringkat Bahagian.
Bercakap dengan TV Pertiwi, Choo Seong berkata, semua Bahagian dan pemimpin peringkat akar umbi bebas untuk membawa usul masing-masing dan harus mengikuti proses yang ditetapkan.
“Lepas peringkat Bahagian nanti ada peringkat negeri sebelum ke peringkat pusat pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada Oktober nanti.
“Presiden dan kepemimpinan MCA menghormati suara akar umbi dan membenarkan mereka membawa sebarang usul dan bersuara secara bebas,” ujarnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi