Dunia menanti reaksi Iran selepas AS serang tapak nuklear

ISTANBUL/WASHINGTON, 26 ZULHIJJAH — Dunia kini menanti tindak balas Iran selepas Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas tapak-tapak nuklear utama Iran, sekali gus bergabung dengan Israel dalam tindakan ketenteraan Barat terbesar terhadap Republik Islam itu sejak Revolusi 1979.

Iran berikrar untuk mempertahankan diri. sehari selepas AS menggugurkan bom pemusnah kubu seberat 30,000 paun ke atas kawasan pergunungan di atas tapak nuklear Fordow, manakala pemimpin AS menggesa Tehran supaya tidak bertindak balas, ketika protes anti-perang yang mula muncul di bandar-bandar AS.

Dalam satu hantaran di platform Truth Social semalam, Presiden AS, Donald Trump mengutarakan idea pertukaran rejim di Iran. “Tidak sopan secara politik untuk guna istilah ‘Pertukaran Rejim’, tetapi jika rejim Iran sekarang gagal `Menjadikan Iran Hebat Semula (MIGA)’, kenapa tidak berlaku pertukaran rejim??? MIGA!!!” tulisnya.

Iran dan Israel terus berbalas serangan peluru berpandu. Jurucakap tentera Israel berkata, jet pejuang Israel telah menyerang sasaran ketenteraan di barat Iran. Tindakan Israel dibalas dengan Iran melancarkan peluru berpandu yang mencederakan ramai orang dan memusnahkan bangunan di Tel Aviv.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS memberi amaran mengenai ancaman yang meningkat di tanah air, termasuk kemungkinan serangan siber atau keganasan bersasar. Polis di bandar-bandar utama AS meningkatkan rondaan, terutama di kawasan agama, budaya dan diplomatik.

Jabatan Negara AS turut mengeluarkan amaran keselamatan kepada semua warga Amerika di luar negara mengenai potensi demonstrasi anti-Amerika dan gangguan perjalanan berikutan penutupan ruang udara di seluruh Timur Tengah, sambil menggesa mereka untuk berwaspada.

Setakat ini, Tehran masih belum melaksanakan ugutan balas terhadap AS, sama ada  menyerang pangkalan AS atau menghalang bekalan minyak dunia, tetapi keadaan ini mungkin tidak kekal lama.

Berucap di Istanbul, Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi berkata, negaranya sedang mempertimbangkan semua kemungkinan tindakan balas. Beliau menegaskan tiada jalan kembali kepada diplomasi sebelum Iran melancarkan serangan balasan.

“AS telah menunjukkan mereka tidak menghormati undang-undang antarabangsa. Mereka hanya faham bahasa ancaman dan kekerasan,” katanya.

Dalam ucapan di televisyen, Trump menyifatkan serangan itu sebagai “kejayaan ketenteraan yang mengagumkan” dan mendakwa kemudahan pengayaan nuklear utama Iran telah “dilenyapkan sepenuhnya.”

Imej satelit komersial menunjukkan serangan AS ke atas loji nuklear bawah tanah Fordow telah merosakkan atau memusnahkan tapak tersebut serta mesin pengayaan uranium yang ada di dalamnya. Namun status sebenar tapak itu masih belum disahkan oleh pakar.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, melaporkan tiada peningkatan tahap radiasi di luar tapak selepas serangan AS. Ketua Pengarah agensi itu, Rafael Grossi, memberitahu CNN bahawa masih terlalu awal untuk menilai kerosakan sebenar di bawah tanah.

Sumber kanan Iran memberitahu Reuters bahawa sebahagian besar uranium yang diperkaya tinggi dari Fordow telah dipindahkan sebelum serangan berlaku. Reuters tidak dapat mengesahkan dakwaan itu serta-merta.

Imej satelit syarikat teknologi angkasa AS, Maxar Technologies, menunjukkan barisan panjang kenderaan di luar pintu masuk kemudahan itu pada Khamis dan Jumaat.

Trump, yang sebelum ini berbolak-balik antara mahu menamatkan perang melalui diplomasi atau meneruskannya, menggesa Iran agar tidak membalas serangan. Beliau berkata, kerajaan Iran “harus membuat perdamaian sekarang” atau “serangan seterusnya akan lebih hebat dan lebih mudah.”

Sebagai langkah yang dilihat sebagai ancaman paling berkesan Iran terhadap Barat, Parlimen Iran meluluskan langkah untuk menutup Selat Hormuz. Hampir suku daripada penghantaran minyak dunia melalui perairan sempit itu yang dikongsi Iran dengan Oman dan Emiriah Arab Bersatu.

TV Iran, Press TV, melaporkan bahawa penutupan selat tersebut masih memerlukan kelulusan Majlis Keselamatan Negara Tertinggi yang diketuai oleh wakil yang dilantik oleh Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei.

Jika Iran menutup Selat Hormuz untuk menyekat penghantaran minyak, harga minyak dunia boleh melonjak mendadak, menggugat ekonomi global dan mencetuskan konflik dengan Armada Kelima AS yang berpangkalan di Teluk yang bertanggungjawab memastikan laluan itu terbuka.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, memberitahu program “Face the Nation” CBS bahawa tiada operasi ketenteraan tambahan dirancang ke atas Iran “melainkan mereka bertindak melampau.”

Majlis Keselamatan PBB bersidang semalam untuk membincangkan serangan AS, sementara Russia, China dan Pakistan mencadangkan supaya badan 15 anggota itu meluluskan resolusi menuntut gencatan senjata segera dan tanpa syarat di Timur Tengah.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata kepada Majlis Keselamatan bahawa pengeboman AS di Iran menandakan satu peralihan berbahaya di rantau itu dan menggesa agar pertempuran dihentikan serta rundingan mengenai program nuklear Iran disambung. – REUTERS

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Iran tembak jatuh satu lagi dron Hermes 900 Israel

Next Post

Kalah perang pun boleh dilantik sebagai jeneral

Related Posts