Mahkamah Persekutuan terkhilaf bataskan kuasa Mahkamah Syariah, kata pakar

BANGI, 24 ZULHIJJAH – Seorang pakar perundangan berkata, terdapat kekhilafan membabitkan pelaksanaan kuasa semakan kehakiman dalam penghakiman Mahkamah Persekutuan kelmarin selepas membenarkan rayuan Sisters In Islam (SIS) Forum berhubung fatwa negeri Selangor terhadap pertubuhan itu.

Menerusi alasan penghakiman ringkas panel empat hakim yang dipengerusi Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini menetapkan prinsip bahawa tugas mentafsir peruntukan Perlembagaan Persekutuan adalah terletak kepada Mahkamah Atasan sivil.

Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata meskipun Mahkamah Persekutuan berkuasa untuk mentafsirkan peruntukan Perlembagaan tetapi Mahkamah terikat dengan kaedah pentafsiran yang betul. Terdapat keperluan untuk mahkamah sivil melihat semula sejarah perundangan negara dalam aspek kuasa Mahkamah Persekutuan dalam semakan kehakiman berhubung urusan agama.

“Mahkamah Persekutuan hanya mempunyai kuasa yang diserahkan oleh negeri melalui kuasa kedaulatan Raja-Raja. Bidang kuasa dalam hal-ehwal kepercayaan umat Islam adalah kuasa Negeri yang tidak diserahkan kepada bidangkuasa Persekutuan.

“Mahkamah telah khilaf kerana mengehadkan bidang kuasa Mahkamah Syariah sehingga menafikan kuasa semakan kehakiman mahkamah dalam undang-undang diri dan keluarga Islam,” katanya kepada TV Pertiwi.

Pada 2014, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mengeluarkan fatwa menyatakan bahawa SIS Forum (Malaysia) dan mana-mana individu, pertubuhan, atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

SIS yang didaftarkan sebagai sebuah syarikat di Malaysia, mencabar fatwa yang menyatakan pertubuhan itu sebagai sesat, dan berjaya dalam rayuannya di peringkat Mahkamah Persekutuan pada Khamis.

Mahkamah Persekutuan pada Khamis mendapati walaupun fatwa tersebut sah, ia tidak terpakai kepada syarikat atau organisasi memandangkan tafsiran ‘persons professing the religion of Islam’ atau orang-orang yang menganut agama Islam hanya merujuk kepada orang sebenar atau natural persons dan bukan orang tiruan atau artificial persons seperti sebuah syarikat.

Dalam penghakiman bertentangan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Abu Bakar Jais, beliau mendapati adalah ‘pelik’ bahawa Mahkamah Shariah tidak mempunyai kuasa untuk menentukan pertikaian mengenai satu-satu fatwa.

Justeru, Ahmad Fauzi yang juga Profesor Madya di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC) berkata, Mahkamah Persekutuan wajar mengiktiraf kuasa yang diberikan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Mahkamah Shariah berhubung fatwa berkenaan ‘unnatural persons’, kerana SIS merupakan platfom mewakili mereka yang menganut agama Islam. Malah DUN mempunyai baki kuasa perundangan di bawah Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan.

“Dari sudut isu perlembagaan, Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa dalam hal-hal berkaitan akidah, maka adalah suatu kesilapan bagi Mahkamah untuk membenarkan SIS berlindung di sebalik entiti korporat dan bergantung kepada statusnya sebagai entiti bukan semula jadi untuk melakukan kesalahan jenayah syariah.

“Disebabkan terdapat lompang bidang kuasa di bawah Jadual Kesembilan, ia membolehkan Dewan Undangan Negeri melaksanakan baki kuasa perundangan mengikut Perkara 77,” katanya.

Ahmad Fauzi dalam pada itu berkata, tafsiran semula terhadap istilah ‘natural persons’ boleh dibuat tanpa perlu meminda Perlembagaan. Katanya, bidangkuasa mahkamah syariah perlu ditafsir terpakai terhadap entiti pertubuhan atau syarikat kerana sebuah pertubuhan tidak mungkin berdiri tanpa pengurus atau pengendalinya. Kedudukan yang menyentuh penentuan hukum syarak oleh mahkamah syariah terhadap aktiviti pertubuhan yang melakukan kesalahan jenayah syariah tidak wajar dilindungi.

“Untuk berlaku proses pembubaran suatu pertubuhan di bawah undang-undang Persekutuan atas sebab kesalahan menggugat ketenteraman awam akibat aktiviti sebaran ajaran sesat, forum berwibawa untuk mengesahkan syarat tersebut mesti berlaku di mahkamah syariah.
Tindakan penguatkuasaanya itu tidak berada di bawah bidangkuasa Mahkamah Shariah tetapi agensi lain seperti Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

“Mahkamah boleh sahaja memberi tafsiran yang lebih luas kepada istilah ‘natural persons’ itu dengan melihat individu di belakang tabirnya. Sebagai contoh, dalam isu kerakyatan yang mengatakan hanya bapa yang boleh memberikan kewarganegaraan kapada anaknya, tetapi Mahkamah telah memutuskan dengan mengambil interpretasi umum bahawa perkataan ‘bapa’ hendaklah dibaca sebagai termasuk ‘ibu’,” katanya.

Beliau merujuk kepada penghakiman oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir dalam satu kes membabitkan sekumpulan ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan individu bukan warganegara Malaysia yang mana mereka memohon kerakyatan kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar Malaysia.

Katanya, berdasarkan Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan, bidang kuasa Mahkamah Syariah terbahagi kepada tiga aspek termasuk penentuan hukum Syarak dan adat Melayu.

“Dalam aspek ini, isu ‘legal identity’ suatu pihak sama ada seorang manusia atau artificial person tidak timbul kerana pengendalinya ialah orang Islam. Bidang kuasa Mahkamah syariah tidak wajar dibataskan dengan tafsiran yang sempit sedemikian
kerana aspek yang diputuskan ialah penentuan hukum terhadap suatu amalan, perbuatan atau percakapan yang dibuat oleh pengendali SIS,” tambahnya

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Mohd Khalid dilantik Ketua Polis Negara baharu

Next Post

Iran tembak jatuh satu lagi dron Hermes 900 Israel

Related Posts