Liberalisme dan pluralisme agama gugat akidah umat Islam – ISMA

BANGI, 23 ZULHIJJAH —Liberalisme dan pluralisme agama merupakan fahaman yang amat berbahaya kerana ia menggugat asas akidah dan merosakkan panduan hidup Islam, tegas Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). 

Presidennya, Shuhaib Ar-rumy Selamat berkata, fahaman liberalisme jelas menolak autoriti wahyu dan meletakkan akal bebas sebagai penentu mutlak kebenaran.

Sementara itu, fahaman pluralisme pula menyamakan semua agama, dan menafikan bahawa hanya Islam sahaja sebagai agama yang benar dan diredhai Allah SWT.

“Kedua-duanya telah dinyatakan oleh para ulama muktabar sebagai menyimpang dan membawa kepada kesesatan,” katanya dalam satu kenyataan. 

Kenyataan itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan fatwa berhubung fahaman liberalisme dan pluralisme agama yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Sisters In Islam (SIS) Forum, semalam.

Panel empat hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara memutuskan dalam alasan penghakiman ringkas hari ini bahawa fatwa berkenaan tidak terpakai kepada pertubuhan atau organisasi, sebaliknya hanya boleh dikenakan terhadap individu.

Mengulas lanjut, Shuhaib Ar-rumy berkata, sebagai sebuah gerakan Islam yang komited dalam mempertahankan aqidah dan identiti ummah, ISMA menyokong penuh tindakan institusi fatwa dalam menangani penyelewengan pemikiran ini.

Beliau berkata, pihaknya menolak sepenuhnya sebarang cubaan untuk mencabar institusi fatwa atau mempermainkan isu akidah atas nama hak asasi manusia dan kebebasan bersuara.

“Ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya adalah prinsip utama dalam kehidupan Muslim, dan sebarang fahaman yang mengajak umat Islam keluar daripada kerangka syariah wajib ditolak dengan tegas,” katanya. 

Selain itu, pihaknya menyeru agar pihak media agar lebih bertanggungjawab dalam melaporkan isu-isu sensitif berkaitan Islam dan aqidah.

Katanya, tajuk-tajuk berita yang tidak tepat ini hanya akan mencetus kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam.

“ISMA turut mengajak umat Islam agar tidak mudah terpengaruh dengan slogan-slogan lunak yang bertopengkan keadilan dan kebebasan mutlak, tetapi hakikatnya membawa kepada kerosakan terhadap agama dan ummah,” katanya.

Tambah beliau, ISMA turut menyeru semua ahli DUN dan ahli Parlimen Muslim agar mengambil tanggungjawab secara serius berkenaan isu ini. 

Katanya, mereka perlu mencadangkan kepada pihak Parlimen bagi meminda atau menggubal undang-undang dalam Perlembagaan mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memasukkan semakan kehakiman di bawah kuasa Mahkamah Syariah bagi hal-hal dan isu yang berkait hukum syarak.

“Ini bagi menjamin hal seperti ini tidak lagi berulang di masa hadapan  kerana tiadanya bidang kuasa tersebut bagi Mahkamah Syariah,” katanya. 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

GPS, IDENTITI gesa isu ‘pelacuran bahasa Melayu’ dibawa ke Dewan Rakyat

Next Post

Waspada dengan ajaran liberalisme, pluralisme – WAFIQ

Related Posts