Kes SRC RM27 juta: Mahkamah Tinggi lepas tanpa bebaskan Najib

BANGI, 23 ZULHIJJAH — Faktor kelewatan terlalu lama untuk memulakan perbicaraan dan pelbagai penangguhan kepada pendakwaan untuk bersedia serta hadir mengendalikan kes menyebabkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri menghadapi tiga tuduhan pengubahan wang haram dana syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta.

Hakim K Muniandy, membuat keputusan membenarkan permohonan Najib minggu lalu untuk mendapatkan DNAA selepas mendapati tempoh masa yang tidak menentu dan tidak pasti yang menyebabkan bekas Perdana Menteri terpaksa berdepan pertuduhan tanpa sebarang penyelesaian.

Muniandy berkata, penantian panjang untuk perbicaraan menjadi beban berlarutan kepada tertuduh, sekali gus menafikan hak beliau mendapatkan penyelesaian sewajarnya dan tepat pada masanya.

Katanya, pihak pendakwaan masih belum bersedia memulakan perbicaraan dalam masa terdekat dan gagal mendapatkan serta mengumpul dokumen diperlukan sebagai bukti terhadap tertuduh.

Beliau berkata, prinsip kedaulatan undang-undang yang terpakai adalah bagi mengelak situasi yang memudaratkan seperti itu.

“Proses mahkamah disalahgunakan dengan pelbagai penangguhan dan kes ini masih kekal dalam sistem kehakiman tanpa penyelesaian sejak 2019, sedangkan mahkamah sentiasa bersedia mendengar dan memutuskan kes secara menyeluruh,” katanya.

Muniandy berkata, mahkamah juga mengambil kira fakta semasa bahawa pertuduhan terhadap Najib merujuk kepada kesalahan yang didakwa dilakukan pada 2014 sedangkan kini sudah tahun 2025, tetapi kes itu masih belum dimulakan untuk perbicaraan.

“Berdasarkan faktor itu, perintah yang paling sesuai ialah mahkamah ini melepaskan tertuduh tanpa membebaskannya, supaya beliau tidak lagi dibebani pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

“Malah, tiada prejudis kepada pihak pendakwaan dengan perintah pelepasan ini kerana pendakwaan masih boleh meneruskan kes ini sekiranya mereka sudah bersedia pada masa akan datang.

“Sehingga tiba waktunya, tertuduh dilepaskan daripada semua pertuduhan terhadapnya dan perintah yang diberikan adalah DNAA,” katanya.

Bekas Perdana Menteri pada 3 Februari 2019, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta, yang digunakan untuk aktiviti tidak mengikut undang-undang, dalam tiga akaun AmPrivate Banking milik beliau. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 itu membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Najib yang kini ditahan di Penjara Kajang sudah disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram pada Julai 2020 membabitkan dana SRC bernilai RM42 juta.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Rakyat Iran semakin bersatu selepas serangan Israel — Putin

Next Post

GPS, IDENTITI gesa isu ‘pelacuran bahasa Melayu’ dibawa ke Dewan Rakyat

Related Posts