GPS, IDENTITI gesa isu ‘pelacuran bahasa Melayu’ dibawa ke Dewan Rakyat

BANGI, 23 ZULHIJJAH — Gerakan Pengundi Sedar (GPS) dan Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia (IDENTITI) menggesa agar isu ‘pelacuran Bahasa Melayu’ yang semakin berleluasa di papan tanda perniagaan dan premis di seluruh negara akan dibawa ke Dewan Rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif GPS, Mohd Noorulhazry Saimin berkata, ia supaya kerajaan bertindak tegas dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dan bukan menjadikan perjuangan ini sekadar kempen retorik semata-mata.

Terdahulu, Noorulhazry berkata, perkara itu dibangkitkan IDENTITI dalam satu pertemuan bersama Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin apabila mendapati isu ini semakin parah.

“Ramai pemilik premis didapati memanipulasi penggunaan bahasa malah ada yang menggunakan sijil pengesahan palsu kononnya dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Kami gesa agar isu ini dibawa ke Dewan Rakyat agar kerajaan bertindak tegas memartabatkan bahasa kebangsaan, bukan sekadar kempen retorik semata-mata,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam pertemuan itu, beliau turut menyerahkan memorandum bantahan terhadap sekatan kebebasan bersuara rakyat di media sosial.

Ini selepas akaun TikTok GPS telah disekat beberapa kali hanya kerana menyuarakan kritikan terhadap prestasi kerajaan.

“Kami percaya kebebasan bersuara adalah nadi kepada demokrasi.

“Bila suara rakyat dibisukan, siapa lagi yang akan berani bersuara?” soalnya.

Justeru, beliau berharap Mas Ermieyati dan wakil Ahli Parlimen pembangkang lain turut dapat membawa kedua-dua isu tersebut.

Tegasnya, ini bukan soal politik kepartian, tetapi melibatkan prinsip dan maruah.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kes SRC RM27 juta: Mahkamah Tinggi lepas tanpa bebaskan Najib

Next Post

Liberalisme dan pluralisme agama gugat akidah umat Islam – ISMA

Related Posts