WASHINGTON, 21 ZULHIJJAH – Dalam satu kenyataan angkuh, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengugut mahu membunuh Pemimpin Tertinggi Iran serta menuntut negara itu menyerah kalah tanpa syarat.
Dalam satu hantaran di platform media sosial Truth Social, Trump mendakwa bahawa AS mengetahui lokasi persembunyian Ayatollah Ali Khamenei dan boleh membunuhnya bila-bila masa, tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian buat masa ini.
“Kami tahu dengan tepat di mana ‘Pemimpin Tertinggi’ itu bersembunyi. Dia adalah sasaran yang mudah, tapi selamat di tempat itu – Kami tidak akan membunuhnya, sekurang-kurangnya buat masa ini.
“Tapi kami tidak mahu peluru berpandu ditembak ke arah orang awam atau tentera Amerika. Kesabaran kami semakin menipis. Terima kasih kerana beri perhatian kepada perkara ini!” tulis Trump.
Beberapa minit kemudian, Trump membuat hantaran susulan dengan hanya menulis: “Serah kalah tanpa syarat!”
Sebelum itu, kira-kira setengah jam lebih awal, Trump mendakwa bahawa AS kini mempunyai kawalan penuh ke atas ruang udara Iran.
Kenyataan provokatif itu dibuat ketika ketegangan semakin memuncak antara Washington dan Tehran, susulan serangan udara, sekatan ekonomi dan ancaman berterusan terhadap pemimpin-pemimpin dunia Islam.
Dalam pada itu, kenyataan Trump turut mengundang kecaman pelbagai pihak yang melihatnya sebagai ancaman bunuh terbuka terhadap pemimpin negara berdaulat, sekali gus mencabuli undang-undang antarabangsa dan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – The Guardian
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi