Polis rakam keterangan Amira Aisya

BANGI, 21 ZULHIJJAH — Polis hari ini merakam percakapan pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz susulan penglibatannya dalam perhimpunan membantah pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, Amira yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 9 pagi dan sesi rakaman percakapan itu selesai kira-kira 30 minit kemudian.

“Saya nak persoalkan kepada kerajaan perpaduan pada hari ini terutama sekali kepada mereka daripada Pakatan Harapan (PH) terutama sekali rakan-rakan PH yang sebelum ini sewaktu di pembangkang mereka sama-sama lawan ‘Akta Sakit Hati’ ini.

“Tetapi sehingga ke hari ini, bila berada di kerajaan, dan memegang jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi sampai sekarang, bukan sekadar akta ini tidak dibubarkan tetapi masih lagi menggunakannya untuk menekan suara rakyat.

“Ini adalah satu perkara yang tak boleh diterima. Kemudian mereka kata mereka nak nak pinda Akta Sakit Hati ni supaya nak perkuatkan lagi Akta Sakit Hati. Sedangkan pindaan tersebut adalah immaterial,” katanya kepada pemberita.

Mengulas lanjut, Amira menyifatkan pindaan terhadap Akta Sakit Hati sebagai sekadar kosmetik yang tidak membawa impak besar dalam menjamin kebebasan bersuara rakyat.

Beliau turut mendakwa akta itu bukan sahaja digunakan terhadap dirinya, malah turut dikenakan ke atas pelajar yang menyertai himpunan membantah rasuah di Sabah.

“Pindaan tersebut adalah kosmetik semata-mata. Tidak ada satu impak yang kuat untuk menjamin kebebasan bersuara rakyat. Akta Sakit Hati ni bukan digunakan kepada saya saja. 

“Kalau kita tengok Akta Sakit Hati ni kalau digunakan kepada saya mungkinlah seteru politik, mereka nak main politik. Tetapi Akta Sakit Hati ni digunakan juga kepada pelajar-pelajar yang pada waktu itu melawan rasuah di Sabah. Buat himpunan gempur rasuah Sabah. 

“Sampai bila Akta Sakit Hati ni nak digunakan untuk membungkam suara rakyat?” soalnya.

Sementara itu, peguam mengiring Amira, Nurainie Haziqah Shafi’i berkata, Amira disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan berhubung kenyataan yang didakwa boleh mengganggu ketenteraman awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia susulan laporan yang diterima pihak polis.

Ainie yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA berkata, laporan polis terhadap Amira dibuat di sebuah balai di Papar, Sabah, namun siasatan dijalankan di Kuala Lumpur memandangkan beliau tidak berada di lokasi berkenaan.

“Disebabkan YB ada komitmen kerja di KL, kita minta agar YB tidak dihantar ke Sabah dan kemudian mengambil statement di sinilah. 

“Laporan tersebut dibuat di Papar, Sabah dan kemudiannya rakaman percakapan dibuat pada pagi ini bersama dengan Pegawai Penyiasat Bertugas (IOD) di Dang Wangi,” katanya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pembedahan jantung Abdul Hadi berjaya, PAS rakam penghargaan kepada IJN

Next Post

NGO buat laporan polis terhadap Yusoff Rawther

Related Posts