TEHRAN, 21 ZULHIJJAH – Serangan mengejut Israel terhadap kemudahan ketenteraan Iran memakan diri apabila Tehran melancarkan serangan balas yang menggegarkan Tel Aviv dan bandar utama lain, sekali gus mendedahkan kelemahan serius pertahanan udara rejim Zionis.
Setakat ini, puluhan rakyat Israel dilaporkan terbunuh akibat serangan peluru berpandu berterusan dari Iran.
Sebagai tindak balas, Israel melancarkan siri pengeboman udara secara besar-besaran ke atas pelancar, silo dan unit sokongan peluru berpandu Iran.
Menurut analisis bersama Institut Kajian Perang (ISW) dan Projek Ancaman Kritikal AEI, Israel dipercayai telah memusnahkan kira-kira satu pertiga pelancar peluru berpandu milik Iran.
Sementara itu, Iran pula dilaporkan telah menggunakan sekurang-kurangnya satu pertiga – dan berkemungkinan sehingga separuh – daripada stok peluru berpandu jarak jauhnya dalam gelombang awal serangan balas itu.
Keupayaan Iran untuk membalas serangan melalui proksi serantau juga semakin lemah sejak setahun lalu, susulan kejatuhan sekutunya Bashar al-Assad di Syria serta kemusnahan besar ke atas Hizbullah di Lubnan dan Hamas di Gaza.
Namun begitu, beberapa peluru berpandu Iran dilaporkan masih berjaya menembusi sistem pertahanan berlapis Israel dan mengenai beberapa bandar utama rejim itu.
Pengawal Revolusi Iran mendakwa serangan terbaharu dilakukan dengan taktik baharu yang menyebabkan sistem pertahanan Israel bertindakbalas antara satu sama lain. Kaedah ini membolehkan Tehran mengenai banyak sasaran penting, namun tidak diperincikan bagaimana taktik itu dilaksanakan.
Pihak Tentera Pertahanan Israel (IDF) enggan mengulas apabila diminta memberi kenyataan berhubung serangan itu.
Sejak Perang Teluk 1991 apabila Israel diserang peluru berpandu Scud dari Iraq, rejim itu giat mempertingkat sistem pertahanan udara dengan bantuan Amerika Syarikat, termasuk membangunkan peralatan anti-peluru berpandu canggih.
Seorang pegawai tentera Israel berkata, sistem pertahanan udara Israel mempunyai kadar keberkesanan sekitar 80 hingga 90 peratus, namun mengakui tiada sistem yang sempurna, dan sebahagian peluru berpandu Iran masih mampu melepasi pertahanan mereka.
Antara sistem utama pertahanan Israel ialah Iron Dome, yang direka bagi memintas roket jarak dekat seperti yang sering dilancarkan oleh pejuang Hamas dari Gaza.
Sistem ini dibangunkan oleh Rafael Advanced Defense Systems dengan sokongan Amerika Syarikat dan mula beroperasi pada 2011. Setiap unit bergerak dilengkapi peluru berpandu berpandukan radar yang direka untuk memusnahkan ancaman seperti roket, mortar dan dron di udara.
Versi maritim Iron Dome pula diperkenalkan pada 2017 bagi melindungi aset laut dan kapal perang.
Sistem ini mampu menentukan sama ada sesebuah roket akan jatuh ke kawasan berpenduduk atau tidak. Jika tidak, ia tidak akan dipintas dan dibiarkan jatuh ke kawasan tidak berbahaya.
Iron Dome asalnya dibina bagi memintas roket dengan jarak antara 4 hingga 70 kilometer, namun menurut pakar, keupayaannya kini telah diperluas. – Reuters
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi