BANGI, 21 ZULHIJJAH — PAS merakamkan penghargaan kepada pasukan pakar perubatan Institut Jantung Negara (IJN) selepas pembedahan jantung yang dijalani oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berjalan lancar dan berjaya.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kejayaan prosedur itu membuktikan kepakaran dan fasiliti perubatan negara setanding dengan negara-negara maju.
“Alhamdulillah, prosedur yang dijalani oleh Tuan Guru Presiden telah berjalan lancar dan berjaya. Ini melegakan para pendukung dan ahli PAS yang amat menyayangi Tuan Guru Presiden,” katanya dalam kenyataan di media sosial, hari ini.
Ahli Parlimen Kubang Kerian turut memuji komitmen tinggi yang ditunjukkan pasukan pakar IJN yang merawat Abdul Hadi.
“Beberapa jam sebelum prosedur dijalankan, saya bersama beberapa pimpinan kanan parti telah diberi taklimat oleh pasukan pakar yang merawat Tuan Guru Presiden.
“Saya dapat melihat sendiri betapa tinggi komitmen mereka dalam melaksanakan pembedahan tersebut,” ujarnya.
Beliau menambah, pembedahan itu juga dipermudahkan dengan ketabahan, kesungguhan dan kepakaran pasukan perubatan, selain doa yang dipanjatkan oleh semua pihak.
“Sekali lagi, bagi pihak PAS, saya merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat, khususnya pasukan pakar dan jururawat di IJN.
“Tidak dilupakan juga kepada semua yang telah mendoakan kesejahteraan Tuan Guru Presiden sepanjang beliau menerima rawatan,” kata Tuan Ibrahim.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi