BANGI, 21 ZULHIJJAH — Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap Muhammed Yusoff Rawther, bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kenyataan po-Israel yang dibuatnya pada tahun 2017.
Ahli Sekretariat Nadi Gemilang Amal, Dzul Hilmi Zainol yang mewakili beberapa NGO lain berkata, persoalan timbul persoalan sama ada Yusoff adalah ejen Israel susulan sokongan pemuda itu kepada negara haram tersebut.
“Kami mahu pihak polis menyiasat adakah beliau ejen kepada negara Laknatullah itu? Adakah beliau ejen kepada Mossad?” katanya merujuk kepada agensi perisikan Israel itu.
Yusoff, 32, dalam satu surat yang disiarkan satu laman web Israel pada 2017 menyatakan sokongan kepada negara haram itu, setahun sebelum dia diambil bekerja sebagai pembantu penyelidik oleh Anwar selepas beliau diberi pengampunan.
Ditanya mengapa laporan polis baru dibuat hari ini, katanya kenyataan itu hanya disedari baru-baru ini dan surat tersebut masih disiarkan di laman web berkenaan.
Sementara itu, peguam Asheeq Ali berkata, pihak berkuasa wajar mengambil tindakan jika perkara tersebut benar.
“Kita tidak harus bertolak ansur dengan mana-mana individu, tidak kira daripada parti apa sekali pun.
“Sekiranya mereka adalah ejen kepada Mossad, kita akan lawan habis-habisan,” katanya yang juga Ketua Cabang PKR Batu.
Yusoff dibebaskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes pemilikan senjata tiruan dan dadah yang ditemui dalam keretanya.
Cucu kepada aktivis pengguna Pulau Pinang Allahyarham SM Idris itu memfailkan saman sivil terhadap Anwar selepas mendakwa diserang secara seksual oleh Anwar seminggu sebelum beliau menjadi Ahli Parlimen Port Dickson.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi