Kenaikan tarif Pelabuhan Klang: Pelabur lari ke negara jiran

BANGI, 21 ZULHIJJAH — Perikatan Nasional (PN) memberi amaran bahawa keputusan kerajaan menaikkan tarif pelabuhan di Pelabuhan Klang hingga 30 peratus boleh menyebabkan penghijrahan pelabur ke pelabuhan negara jiran yang lebih kompetitif.

Ketua Portfolio Pengangkutan PN, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, langkah secara berperingkat itu bakal menjejaskan daya saing Malaysia di peringkat serantau, terutama dalam sektor perkapalan dan logistik.

“Menurut kajian Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), kos pengendalian kontena 20 kaki dijangka meningkat daripada RM300 kepada RM390, manakala caj penyimpanan kontena melonjak hampir 200 hingga 243 peratus.

“Ini bukan sahaja menjejaskan daya saing Malaysia, malah boleh menyebabkan penghijrahan pelabur ke pelabuhan-pelabuhan jiran seperti di Vietnam, Indonesia dan Thailand yang menawarkan yuran pengendalian lebih murah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, keputusan menaikkan tarif pelabuhan dibuat ketika ekonomi negara belum pulih sepenuhnya pasca pandemik dan ketika ketidaktentuan geopolitik serta aliran perdagangan global masih berlaku.

“Tindakan kerajaan mengenakan beban kos berganda terhadap sektor industri dan pengangkutan adalah tidak bertanggungjawab dan tidak selari dengan semangat pemulihan ekonomi,” tegas beliau.

Sehubungan itu, katanya PN menggesa kerajaan membekukan serta-merta semua bentuk kenaikan tarif pelabuhan, tambahan cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta penyusunan semula tarif elektrik yang boleh meningkatkan kos operasi industri dan akhirnya memberi kesan kepada pengguna.

Selain itu, katanya PN mencadangkan supaya Kementerian Pengangkutan dan MITI segera mengadakan dialog terbuka bersama pihak industri bagi meneliti kesan langsung kenaikan tarif kepada kos perniagaan dan harga barang.

Beliau berkata, PN juga mahu kesan kenaikan itu dibentangkan di peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Malaysia, sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kita tidak mahu Malaysia yang kini berada di tangga ke-23 dalam Indeks Daya Saing Dunia (IMD) terus merosot disebabkan keputusan yang tidak strategik,” tambahnya.


Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

NGO buat laporan polis terhadap Yusoff Rawther

Next Post

Perak dipilih sebagai lokasi Himpunan Melayu Berdaulat Siri Kedua

Related Posts