BANGI, 20 ZULHIJJAH – Kenaikan caj pelabuhan sebanyak 30 peratus yang akan berkuat kuasa 1 Julai nanti bakal memberikan kesan besar terhadap sektor pengeluaran, eksport dan pengguna secara keseluruhan.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Melaka, Bakri Jamaluddin menegaskan, sektor pengeluaran yang menyumbang 23 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara merupakan penyumbang kedua terbesar selepas sektor perkhidmatan, dan kini sedang berdepan tekanan kos operasi serta ketidaktentuan ekonomi global.
Katanya, langkah menaikkan caj pelabuhan ini akan menambahkan lagi tekanan kepada industri pengeluaran yang sudah pun terkesan dengan pelbagai faktor.
“Antaranya kenaikan kos operasi, tekanan ekonomi global serta 10 peratus tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap barangan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media.
Lebih membimbangkan, Ahli Parlimen Tangga Batu itu berkata, kenaikan tarif elektrik yang dijangka berlaku dalam bulan yang sama hanya akan memperburuk situasi, menjadikan industri pengeluaran dan eksport Malaysia tidak lagi kompetitif di peringkat serantau.
Tambah beliau, caj pelabuhan yang baharu, sekitar AS$120 hingga AS$130 per TEU, akan menyamai kadar di Singapura dan Hong Kong.
Namun ia tetap lebih tinggi berbanding negara jiran seperti Vietnam, Indonesia dan Thailand.
“Dengan caj yang tinggi ini, kita bimbang ‘value proposition’ pelabuhan-pelabuhan di Malaysia akan terjejas dan risiko kargo dialihkan ke negara jiran yang menawarkan kos lebih rendah adalah amat tinggi,” katanya.
Justeru, beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan kenaikan tersebut demi memastikan pelabuhan tempatan kekal kompetitif dan tidak mengganggu sektor pengeluaran yang menjadi tunjang penting kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi