Perang Iran-Israel: Kenapa Jordan pintas peluru berpandu Iran?

BANGI, 20 ZULHIJJAH — Tindakan Jordan memintas beberapa peluru berpandu yang dilancarkan Iran terhadap Israel mencetuskan persoalan besar mengenai pendirian sebenar negara-negara Arab terhadap peperangan yang kedua-dua pihak itu.

Sebelum ini, negara-negara Arab sering dikritik oleh masyarakat antarabangsa kerana tidak bertindak agresif terhadap pencerobohan negara haram Israel ke atas Palestin.

Malah, ramai meluahkan rasa marah apabila pembunuhan beramai-ramai dilakukan rejim Zionis terhadap penduduk Gaza dan Tebing Barat sedangkan negara-negara Arab yang merupakan ‘jiran’ kepada Palestin seolah-olah membiarkan perkara itu berlaku.

Namun, selepas lebih 20 bulan genosid yang berlaku di Gaza sejak tercetusnya Taufan Al-Aqsa, kini Iran telah melancarkan serangan peluru berpandu ke atas beberapa wilayah Israel.

Namun, umum diketahui bahawa serangan tersebut bukan disebabkan kekejaman yang berlaku di Gaza tetapi sebagai serangan balas terhadap kebiadapan Israel termasuk tindakan negara haram itu meletupkan kedutaan Iran di Syria pada April tahun lepas.

Pada minggu ini, satu dunia kembali memberi perhatian terhadap konflik di Timur Tengah apabila Iran akhirnya mempamerkan kekuatan teknologi senjata negara itu dengan melancarkan ribuan roket terhadap Israel.

Beberapa daripada roket itu berjaya melepasi teknologi pertahanan Israel, Iron Dome dan mengena sasaran di beberapa wilayah sekitar Israel termasuk Tel Aviv.

Ketika serangan itu dilancarkan, ramai juga tertanya-tanya mengapa Jordan bertindak memintas peluru berpandu tersebut sekali gus mengurangkan impak kemusnahan terhadap Israel.

Menurut Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP), Muhammad Fauzi Asmuni, sikap beberapa negara Arab yang berpihak kepada Israel bukanlah satu rahsia apabila mereka menjadi antara dalang yang menyekat bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Selain itu katanya, negara-negara Arab juga dilihat berdiam diri daripada mengambil sebarang tindakan keternteraan untuk membantu Palestin.

Namun begitu, beliau berpandangan bahawa usaha Iran tidaklah gagal sepenuhnya apabila Israel mahupun negara-negara Arab tidak berjaya memintas semua peluru berpandu tersebut.

“Faktor persiapan Iran mungkin menjadi faktor kegagalan ini.

“Sejak sekian lama, kali ini Iran memecah tradisi menyerang negara haram Israel dan mengakibatkan kemusnahan besar. 

“Dengan itu, masih terlalu awal untuk menjangkakan adakah ini akan berlarutan sehingga menjadi perang besar Iran-Israel atau tidak,” katanya kepada TV Pertiwi.

Mengulas lanjut, Muhammad Fauzi berkata, situasi ini juga tidak dapat dipastikan sama ada ia akan memanfaatkan pihak Palestin.

Bagaimanapun katanya, kunci kepada pembebasan mutlak Palestin terletak pada kesatuan negara-negara Islam untuk berjuang ke arah itu.

Sementara itu, pakar geostrategis, Prof Dr Azmi Hassan melihat bahawa tindakan Jordan bukan kerana ingin memihak kepada Israel tetapi lebih kepada menghapuskan ancaman yang melalui ruang udara negara mereka.

Beliau berkata, sekiranya itu alasan yang digunakan, maka Jordan juga sewajarnya memintas peluru berpandu dari Israel yang memasuki ruang udara mereka. 

“Jika benar kesahihan bahawa Jordan memintas peluru-peluru berpandu Iran mungkin atas alasan bukan untuk melindungi Israel tetapi melalui ruang udara Jordan. 

“Maka sama juga Jordan perlu juga memintas peluru berpandu yang dilancarkan daripada Israel ke Iran kerana saya jangkakan itu selalu yang digunakan oleh Jordan sebagai alasan mengapa mereka memintas peluru berpandu yang melalui ruang udara mereka,” katanya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Ekonomi mantap, Malaysia lonjak 11 anak tangga dalam WCR 2025, kata Tengku Zafrul

Next Post

Janji kebebasan media cuma retorik, kata Wan Saiful

Related Posts