Janji kebebasan media cuma retorik, kata Wan Saiful

BANGI, 20 ZULHIJJAH — Janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin memperjuangkan kebebasan media hanyalah retorik kata wakil rakyat Perikatan Nasional (PN), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Menurut Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, meskipun Anwar menegaskan bahawa ‘kebebasan media adalah asas demokrasi yang perlu dikekalkan’, namun realitinya pada hari ini adalah amat berbeza.

Beliau berkata, perkara ini dapat dilihat sejak Kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran yang mana memperlihatkan pendekatan tidak konsisten dan bersifat represif terhadap suara media yang bebas dan kritikal.

“Dalam ucapan pada 14 Jun 2025, Perdana Menteri menyatakan komitmen terhadap ekosistem maklumat yang bebas, bertanggungjawab dan seimbang.

“Namun realiti semasa amat berbeza. Undang-undang memindas masih diguna, seperti Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk menyiasat pengguna media sosial, wartawan dan aktivis yang menyuarakan pandangan kritikal.

“Rakyat tidak mudah tertipu dengan ucapan manis, kerana rakyat boleh melihat sendiri bagaimana undang-undang menindas terus diguna pakai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ketua Portfolio Komunikasi PN berkata, terdapat banyak insiden di bawah pentadbiran Anwar yang mana portal berita, wartawan dan aktivis media sosial menerima tekanan melalui siasatan, panggilan polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pelbagai tindakan lain.

Katanya, ini terutama apabila menyentuh isu yang dianggap sensitif oleh mereka yang berkuasa sekali gus mencerminkan penggunaan kuasa secara selektif terhadap media.

“Malah, tekanan kepada kebebasan melapor juga berlaku apabila alasan 3R (Raja, Agama, Kaum) digunakan secara longgar dan tidak jelas.

“Malahan ada pemimpin politik kini sedang disiasat dan didakwa di bawah Akta Hasutan yang selama ini dikatakan sebagai satu akta zalim oleh Anwar sendiri.

“Namun, akta yang dia pernah kritik itulah yang digunakan untuk membenam suara rakyat,” ujarnya.

Justeru, beliau menggesa pengamal media untuk sama-sama mendesak kerajaan memansuhkan segera Akta Hasutan dan menyemak semula Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia agar diselarikan dengan semangat kebebasan bersuara yang tulin.

“Saya juga menyeru semua pihak sama ada pihak berkuasa, pakar undang-undang, ahli akademik atau pengamal media untuk mendesar agar satu definisi yang jelas diberikan terhadap ‘batas 3R’ agar tidak disalahgunakan untuk menutup ruang demokrasi.

“Jika benar Anwar masih berpegang kepada prinsip reformasi, beliau mesti buktikan melalui tindakan tegas memperkukuh kebebasan media bukan sekadar memperindah fantasi dengan ucapan lunak dan habuan dana,” tambahnya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Perang Iran-Israel: Kenapa Jordan pintas peluru berpandu Iran?

Next Post

Trump desak Iran serah kalah tanpa syarat, ugut bunuh Ali Khamenei

Related Posts