BANGI, 20 ZULHIJJAH – Malaysia melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) 2025 – pencapaian terbaik sejak tahun 2020, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, peningkatan itu merupakan bukti usaha kolektif semua pihak dalam memperkukuh daya saing negara.
“Kita melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) 2025!
“Ini pencapaian terbaik kita sejak 2020 dan bukti usaha kolektif kita membuahkan hasil. Syabas #MalaysiaMADANI!” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, lonjakan itu didorong oleh prestasi ekonomi yang mantap, kecekapan kerajaan serta kecekapan perniagaan yang semakin baik.
“Insya-Allah, kita akan terus komited untuk melonjakkan daya saing negara ke kelompok 12 teratas menjelang 2033.
“Ayuh teruskan momentum ini demi kemakmuran bersama!” katanya lagi.
Laporan WCR diterbitkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) yang berpangkalan di Switzerland, dan menilai daya saing sesebuah negara berdasarkan empat kriteria utama iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi