BANGI, 19 ZULHIJJAH — “Saya ucapkan selamat maju jaya kepada Rafizi – beliau telah menjalankan tugas dengan cemerlang,” kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Rafizi Ramli atas khidmat baik menerajui Kementerian Ekonomi.
Namun, katanya, Kementerian Ekonomi akan kekal wujud dan tiada keperluan untuk melakukan rombakan.
“Saya akan tentukan, pada masa yang sesuai, menteri atau kementerian mana yang akan mengambil alih tanggungjawab tersebut,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Anwar berkata, Kementerian Ekonomi dulu adalah Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri dan dalam beberapa tahun ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang pertama, dibentuk menjadi satu kementerian.
“Buat masa ini, tiada isu, tiada masalah. Jadi, mari kita teruskan,” katanya.
Sementara itu Perdana Menteri berkata, beliau memberi ruang kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad, untuk befikir dan merenungkan mengenai keputusan untuk melepaskan jawatan itu.
Beliau berpandangan adalah lebih baik Nik Nazmi terus berkhidmat.
Rafizi dan Nik Nazmi menghantar surat perletakan jawatan susulan kekalahan mereka pada pemilihan PKR.
Menerusi surat perletakan jawatan yang dihantar kepada Perdana Menteri, perletakan jawatan Rafizi akan berkuat kuasa 17 Jun (esok), manakala Nik Nazmi pada 4 Julai.
Rafizi tewas di tangan mantan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah yang juga anak sulung Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden, manakala Nik Nazmi gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden.
Mengenai Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Anwar berkata, RMK13 membabitkan kerja Jemaah Menteri keseluruhan.
Berikutan banyak perubahan yang berlaku dalam ekonomi global seperti kadar tarif, katanya banyak angka unjuran yang perlu dirombak.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi