BANGI, 19 ZULHIJJAH — Gabungan Nasionalis bakal menganjurkan Hari Peradaban Melayu 2025 yang mensasarkan sekurang-kurangnya 10,000 peserta di Dewan Majlis Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya pada 28 Jun ini.
Presiden Nasionalis, Aminuddin Yahaya berkata, penganjuran Hari Peradaban Melayu 2025 merupakan usaha memperkukuh jati diri dan menyemarakkan kesedaran terhadap warisan bangsa melalui kerjasama lebih 70 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang merangkumi NGO Melayu, budaya dan juga kesenian.
Katanya, penganjuran pertama acara itu pada tahun 2021 mencatat kehadiran antara tujuh hingga lapan ribu peserta, dan kali ini pihaknya berharap jumlah kehadiran akan meningkat lebih ramai daripada itu.
“Tujuan kita mengadakan hari peradaban ini adalah untuk memberikan kefahaman dan kesedaran dan membangkitkan balik kembali jati diri orang Melayu untuk menyatakan bahawa Melayu ini ada sejarahnya tersendiri, ada budayanya tersendiri, ada tamadunnya tersendiri.
“Jadi kita bukan satu bangsa yang tidak ada sejarah yang sebagaimana orang selalu sebut di dalam medan-medan.
“kita bimbang bahawa akhirnya Melayu tidak ada lagi sejarah generasi muda tidak kenal lagi tidak menghargai akan budaya yang telah kita pertahankan begitu lama yang begitu baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Adamson Hotel, Kuala Lumpur hari ini.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, jika sebelum ini program turut dihadiri kaum Tionghoa dan peserta antarabangsa termasuk dari Hawaii, kali ini pihaknya berharap masyarakat Tionghoa hadir sendiri bagi memahami bahawa program ini bukan gerakan rasis, sebaliknya usaha meraikan budaya Melayu.
Katanya, Hari Peradaban Melayu hanya bertujuan mempamerkan keunikan budaya Melayu termasuk pakaian, permainan dan cara hidup, yang seharusnya disambut baik oleh semua pihak dan bukannya dilihat sebagai sesuatu yang menakutkan.
“Kita hanya nak merayakan budaya kita. Mempamerkan apa itu orang Melayu, apa itu budaya Melayu, pakaian orang Melayu, permainan orang Melayu dan sebagainya.
“Jadi tidak harus menjadi satu ‘dogma’ yang menakutkan tetapi seharusnya mendapat satu sambutan yang baik daripada semua pihak.
Ketika ditanya mengenai kelainan penganjuran kali ini berbanding 2021, Aminuddin berkata program terdahulu lebih tertumpu kepada persembahan di padang seperti silat dan congkak, namun kali ini akan dipelbagaikan dengan persembahan pentas merangkumi syair, nasyid, drama dan sebagainya.
Tambah Aminuddin, beliau turut dimaklumkan kemungkinan besar tetamu dari luar negara seperti Indonesia, Thailand dan Kemboja akan hadir bersama untuk meraikan Hari Peradaban Melayu.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi