BANGI, 19 ZULHIJJAH — Jabatan Peguam Negara (AGC) membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Muhammed Yusoff Rawther dalam kes dadah dan pistol tiruan yang ditemui dalam kenderaan bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
Dalam satu kenyataan, jabatan itu memakluman sudah memfailkan Notis Rayuan bagi merayu keputusan pelepasan dan pembebasan pada hari ini.
“Seksyen 39B(2) Akta 234 memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup, dan sekiranya tidak dihukum dengan hukuman mati, hendaklah disebat tidak kurang daripada 12 sebatan meanakala Seksyen 36(1) Akta 206 memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yusoff didakwa di bawah kedua-dua seksyen itu selepas polis menemui ketulan ganja seberat 300.1 gram dan dua pucuk pistol tiruan dalam kenderaannya dalam satu serbuan berhampiran rumahnya di Kuala Lumpur, seminggu selepas dia menyerahkan senarai saksi dalam sivilnya terhadap Anwar.
Pemuda berusia 32 tahun itu kini dibebaskan setelah sembilan bulan meringkuk dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh memandangkan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya tidak boleh diikat jamin.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin minggu lepas mendapati tiada prima facie terhadap Muhammed Yusoff dalam kedua-dua kes berkenaan selepas pihak pendakwaan menutup kes.
Seramai 13 saksi dipanggil semasa perbicaraan kes pendakwaan antaranya dua pegawai penyiasat polis yang mana Muhammad Jamil berkata, kegagalan mereka menyiasat keterangan Yusoff bahawa dia diperangkap Anwar sebagai antara alasan lelaki tersebut dibebaskan.
Yusoff, cucu kepada aktivis pengguna terkenal Allahyarham SM Idris merupakan bekas pembantu penyelidik Anwar. Dia mendakwa diserang secara seksual oleh Anwar pada tahun 2018 di pejabat banglo Anwar itu di Bukit Gasing.
Dia berikrar akan terus berjuang dan melawan Anwar dalam kes saman sivil yang difailkan terhadap Perdana Menteri.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi