BANGI, 14 ZULHIJJAH — Perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan bermula 1 Julai ini membabitkan jumlah barangan sehingga empat kali ganda, dedah penyokong kuat bekas Perdana Menteri Najib Razak, Eric See-To.
Dalam satu hantaran di laman Facebooknya, Eric memetik analisis firam akaun PwC yang mendedahkan antara barangan yang dikenakan cukai jualan sebanyak 5% termasuklah buah pisang, mangga anggur, minyak masak, garam dan bijirin, walaupun sebelum ini dikecualikan.
Analisis firma itu turut menjangkakan penambahan hasil sebanyak RM10 bilion setahun, iaitu dua kali ganda besar berbanding anggaran asal iaitu RM5 bilion.
Eric yang merupakan bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional berkata, lima perintah cukai telah diwartakan dua hari lalu termasuk ‘Sales Tax Order 2025’ yang lebih tebal dan menyenaraikan 4,104 barangan dikenakan cukai berbanding 987 pada tahun 2022.
“Ini bermaksud lebih 4 kali ganda bilangan barangan kini dikenakan cukai jualan berbanding senarai lama,” katanya.
Perintah cukai kedua, iaitu ‘Sales Tax (Goods Exempted From Tax) Order 2025’ menyenaraikan 1,813 barangan yang dikecualikan cukai berbanding 5,222 pada tahun 2022, yang bermakna lebih 3,400 subkategori barang yang dahulunya tidak dikenakan cukai kini akan dikenakan cukai jualan mulai 1 Julai.
“Kenyataan rasmi Kementerian Kewangan kononnya hanya ikan salmon, tuna dan avocado yang dikenakan cukai baru ternyata mengelirukan.
Bila saya semak dokumen rasmi sendiri, hampir semua buah-buahan (tak kira import atau tempatan) kini dikenakan cukai, termasuk durian, epal, oren, oren mandarin, kurma dan garam.
“Jadi, peningkatan hasil RM10 bilion bukan datang daripada “ikan salmon dan avocado” semata-mata.
Ia datang kerana kerajaan telah memperluas skop cukai secara besar-besaran dan senyap ke atas makanan asas rakyat, termasuk barangan dapur harian yang dulunya tidak pernah dicukai,” ujarnya.
SST diperkenalkan pada tahun 1972, yang kekal sebagai sistem cukai tidak langsung utama selama lebih empat dekad sebelum digantikan dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 2015 dengan kadar standard 6%.
GST bagaimanapun menerima tentangan ketara daripada orang ramai kerana dianggap menaikkan kos sara hidup dan menambah beban pentadbiran kepada perniagaan.
Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan 1.0 pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memansuhkan GST secara rasmi pada 31 Ogos.
SST diperkenalkan semula pada 1 September 2018 sebagai sistem cukai yang lebih ringkas dan mesra perniagaan serta pengguna.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan semasa membentang Belanjawan 2025 tahun lalu memaklum hasrat kerajaan untuk memperluaskan skop SST bagi menambah hasil kepada kerajaan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi